YAN: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai cuba menyamun sebuah kedai serbaneka dengan menggunakan pistol mainan di Dulang, di sini pada Jumaat lalu .
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek warga tempatan berusia 35 tahun ditahan di tepi jalan di Titi Hayun pada pukul 4.30 pagi selepas juruwang kedai terbabit membuat laporan polis sejam sebelum itu.
“Siasatan awal mendapati, sekitar pukul 3.05 pagi, suspek pergi mengisi minyak motosikal di stesen minyak yang terletak bersebelahan kedai serbaneka di situ. Selepas mengisi minyak suspek dilihat mundar mandir di tepi bangunan stesen minyak berkenaan,” katanya.
Menurut Shahnaz, ketika juruwang itu keluar untuk mengambil penyapu yang berada di tepi stesen minyak itu, dia disergah oleh suspek sambil menunjukkan objek disyaki pistol menyebabkan mangsa berlari masuk semula ke dalam premisnya.
“Selepas gagal memperolehi apa-apa daripada mangsa, suspek kemudiannya bergegas melarikan diri. Kira-kira sejam kemudian kita berjaya menahan suspek dan merampas sepucuk pistol mainan, sebuah motosikal dan sehelai jaket berwarna hitam,” katanya.
Katanya, semasa disoal siasat suspek turut mengaku mengacukan pistol mainan itu kepada mangsa ketika cubaannya melakukan samun.
“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod menceroboh rumah mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
“Saringan awal air kencing suspek turut positif dan kini direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya. –UTUSAN