Lelaki bakar isteri dituduh membunuh - Utusan Malaysia

Lelaki bakar isteri dituduh membunuh

GABRIEL Subramaniam dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini untuk didakwa membunuh isterinya, minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya minggu lalu.

Gabriel Subramaniam, 28, dituduh menyebabkan kematian E.Komati, 33, di Ladang Walbrook, Sitiawan, antara pukul 6.30 petang hingga 7 malam pada 10 Julai lalu.

Tertuduh memahami pertuduhan itu ketika ia dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh manakala tiada jaminan ditawarkan kepadanya.

Majistret Kavita menetapkan 18 September depan untuk kes itu disebut semula untuk mendapatkan laporan pakar berkaitan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian air kencing yang dijalankan di Balai Polis Pantai Remis pada pukul 6.40 petang 12 Julai lalu.

Gabriel dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Izalina Rajaai, menetapkan kes itu disebut semula pada 25 Oktober depan di Mahkamah Majistret Pantai Remis untuk mendapatkan laporan patologi.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak membakar isterinya sehingga mati di rumah mereka di Kampung Bharu, Sitiawan, dekat sini, kerana tidak berpuas hati dituduh oleh mangsa dan keluarganya yang dia mengambil dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, kejadian itu dipercayai dilakukan suspek selepas pihak polis menerima panggilan MERS 999 pada pukul 6.42 petang 10 Julai lalu daripada seorang wanita memaklumkan adiknya iaitu suspek telah membakar isterinya di rumah.

Mangsa yang berusia 33 tahun dihantar ke HSM untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah hari dua hari kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya