Lebih 5,000 penyokong JDT 'banjiri' Dataran Bandaraya JB

Lebih 5,000 penyokong JDT ‘banjiri’ Dataran Bandaraya Johor Bahru

LEBIH 5,000 penyokong JDT menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan KL City dengan berkonsepkan piknik di Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ribuan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tidak berpeluang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim memilih untuk menyaksikan perlawanan itu melalui skrin gergasi di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Uniknya, mereka berpeluang menyaksikan perlawanan akhir itu secara santai dengan berkonsepkan piknik di tengah padang.

Padang awam itu mula dipenuhi orang ramai seawal pukul 5 petang bagi mendapatkan tempat duduk hadapan untuk menyaksikan pasukan bola sepak kesayangan mereka beraksi.

Salah seorang pengunjung, Mohd. Rizal Mis, 44, berkata, ini merupakan pengalaman pertama kali dia menyaksikan perlawanan bola sepak di padang awam bersama ribuan penyokong lain.

“Biasanya saya menonton perlawanan bola sepak di stadium, malahan untuk perlawanan akhir ini, saya juga dapat empat tiket, namun jumlah itu tidak mencukupi buat kesemua 14 ahli keluarga yang mahu menyaksikan perlawanan ini.

“Jadi kami buat keputusan untuk jual empat tiket itu dan datang ke Dataran Bandaraya Johor Bahru bagi menonton perlawanan akhir ini bersama-sama kesemua ahli keluarga.

“Memang suasananya sedikit berbeza berbanding jika berada di dalam stadium, namun begitu kemeriahannya tetap dirasakan kerana seluruh padang ini dipenuhi orang ramai menjadikannya meriah,” katanya yang merupakan bapa kepada dua orang anak.

Tambah Mohd. Rizal, sebagai sokongan buat skuad Harimau Selatan itu, mereka sekeluarga turut menempah baju t-shirt khas yang bertulisan ‘Ini Johor Darul Ta’zim’.

Katanya, baju itu ditempah khas oleh adik bongsunya, Nur Afifah, 33, yang menyuarakan idea tersebut untuk mereka sekeluarga.

Seorang lagi penyokong JDT, Ghazali Ibrahim, 54, pula memberitahu, dia lebih gemar menyaksikan perlawanan bola sepak secara piknik berbanding berkunjung ke stadium.

“Mungkin saya sudah semakin berusia dan kurang gemar bersesak-sesak, tetapi saya tetap mahu memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak kesayangan iaitu JDT.

“Oleh itu saya hadir ke sini bersama-sama dengan ahli keluarga seramai lima orang untuk menyaksikan detik bersejarah ini,” katanya yang menjangka JDT bakal mengalahkan KL City dengan keputusan jaringan 3-0.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman pula memberitahu, pihaknya menjangka kehadiran seramai antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung di dataran berkenaan.

“Kita boleh lihat walaupun perlawanan belum bermula namun dijangka seramai 5,000 lebih pengunjung telah memenuhi dataran ini, kapasiti maksimum lokasi ini adalah sekitar 10,000 pengunjung.

“Dalam satu tayangan skrin gergasi perlawanan JDT sebelum ini, kita juga pernah rekodkan jumlah kehadiran pengunjung seramai 10,000 orang,” katanya kepada pemberita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN