Lebih 50 murid SK Cyberjaya alami keracunan makanan

Lebih 50 murid SK Cyberjaya alami keracunan makanan

SK Cyberjaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lebih 50 murid Sekolah Kebangsaan Cyberjaya dikatakan mengalami keracunan makanan pada Khamis lalu dipercayai selepas makan di kantin sekolah.

Menurut salah seorang bapa kepada mangsa murid terlibat, anaknya lebih awal mengalami simptom kes tersebut iaitu pada hari Isnin apabila didapati muntah-muntah sewaktu sesi pembelajaran pada hari tersebut selepas waktu rehat.

Kata beliau, anaknya dalam keadaan sihat ketika dihantar ke sekolah dan dia dimaklumkan oleh guru berhubung situasi anaknya untuk dirujuk ke fasiliti kesihatan.

“Saya membawa anak ke klinik untuk pemeriksaan lanjut kerana dikhuatiri mendapat jangkitan demam, namun setelah ujian darah dilakukan, tiada tanda demam.

“Bagaimanapun daripada simptom dialaminya, doktor mengesahkan anak saya keracunan makanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman berkata, setelah dua hari diberikan cuti rehat, anaknya dibenarkan ke sekolah semula pada Khamis lalu.

Namun, katanya anaknya sekali lagi mengalami muntah-muntah selepas makan nasi lemak dan ayam goreng di kantin sekolah.

“Pada hari tersebut juga lebih 50 murid mengalami simptom sama seperti sakit perut, muntah-muntah dan sakit kepala setelah makan di kantin sekolah,” katanya.

Beberapa ibu bapa lain turut dihubungi dan mengesahkan anak mereka turut mengalami simptom sama selepas makan di kantin sekolah.

Beliau mendakwa, kes keracunan makanan adalah kali kedua berlaku selepas kali pertama terjadi pada Mei lalu.

Katanya, pengurusan kantin berkenaan pernah diarah tutup dan dikenakan tindakan kompaun bagi kes pertama itu dan pihak pengurusan sama dibenarkan untuk meneruskan operasi.

Utusan Malaysia sedang mendapatkan pengesahan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya