Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Vietnam esok

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Vietnam esok

DR. ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam  selama dua hari bermula esok adalah sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama dan hubungan erat terjalin antara kedua-dua negara sejak lima dekad lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, 2023 adalah ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam yang terjalin sejak 30 Mac 1973.

Katanya, lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan daripada Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, kedua-dua Perdana Menteri dijangka menyaksikan pemeteraian memorandum kerjasama di antara National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM) dan Vietnam Chamber of Commerce and Industry (VCCI).

“Memorandum Persefahaman dan Kerjasama ini dijangka akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Vietnam serta memberi faedah kepada pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara yang menguntungkan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zambry, Perdana Menteri dalam lawatan itu akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, TYT Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Vong Dinh Hue.

“Setelah selesai perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi Vietnam, Perdana Menteri juga dijadual menunaikan solat Jumaat di satu-satunya masjid di Hanoi iaitu Masjid Al Noor dan berinteraksi dengan imam dan ahli jawatankuasa masjid serta ahli-ahli jemaah lain.

“Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di Vietnam untuk sesi ramah mesra dan berpeluang berkongsi dasar serta hala tuju Kerajaan Malaysia Madani,” katanya.

Pada masa sama, Zambry memberitahu, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama Antara Malaysia dan Vietnam (JCM-7) bersama rakan sejawatnya, Bui Thanh Son pada pagi esok.

“Suruhanjaya Bersama (JCM) ini merupakan antara mekanisme dua hala yang utama bertujuan untuk membincangkan isu-isu mekanisme bersama di peringkat Menteri Luar Negeri.

“Suruhanjaya ini telah diwujudkan pada tahun 1992, susulan pemeteraian Perjanjian Ekonomi, Sainifik dan Teknikal antara Malaysia dan Vietnam.

“Pengesahan minit hasil dari Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama tersebut akan turut disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri selepas mesyuarat dua hala pada sebelah petang 20 Julai (esok),” katanya.

Menurut Zambry, Vietnam juga merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-12 terbesar dan merupakan destinasi eksport ke-10 terbesar pada 2022 manakala Malaysia pula merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Vietnam.

Beliau justeru itu menjelaskan lawatan Perdana Menteri itu dijangka dapat mengukuhkan lagi kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Vietnam, terutamanya dalam bidang halal, pertanian, pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Dalam konteks serantau, Perdana Menteri dijangka akan mengambil peluang ini untuk membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama dalam ASEAN dan menyatakan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu di peringkat serantau dan global,” ujar beliau.

Zambry memberitahu, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam telah dipertingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik pada tahun 2015.

“Hubungan ini merangkumi peningkatan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, kewangan, pertahanan dan sekuriti, agrikultur, pendidikan, tenaga buruh, pengangkutan, tenaga kuasa, kesenian, belia, sukan dan pelancongan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya