Laporan EIA projek ladang hutan didakwa berat sebelah - Utusan Malaysia

Laporan EIA projek ladang hutan didakwa berat sebelah

MEOR Razak Meor Abdul Rahman (dua dari kanan) menyerahkan memorandum bantahan cadangan projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong kepada Pegawai Khas Pejabat Menteri Besar Perak, Rahim Nawawi (kiri) di Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jaringan Menyelamatkan Hutan Kledang Saiong mendakwa kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) terhadap projek ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar sebagai tidak profesional dan berat sebelah.

Jurucakapnya, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, laporan EIA oleh syarikat perun­ding itu dilihat berpihak kepada pemaju dengan memperkecil kesan-kesan negatif kepada alam sekitar dan masyarakat setempat.

Malah katanya, hasil daripada penelitian yang dijalankan, wujud banyak kesilapan dan andaian yang jauh daripada realiti dalam laporan berkenaan.

“Kemusnahan habitat merupakan antara ancaman utama akibat projek ladang hutan. Berdasarkan laporan EIA sendiri, kawasan itu merupakan kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi terutama hidupan liar.

“Jadi, jika kita ganggu (teroka hutan), tidak mustahil ia akan menimbulkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

“Sekarang pun, sudah ba­nyak berlaku apabila sesuatu hutan dibuka dengan skala besar, akan menimbulkan masalah kepada penduduk seperti kes gajah, babi dan kera masuk ke kawasan kampung,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum ‘Hentikan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong’ di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini semalam.

Menurut Meor Razak yang juga Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), kajian impak sosial yang dijalankan oleh EIA juga tidak menyeluruh dan hanya melibatkan golongan tertentu.

Malah katanya, sesi pende­ngaran awam yang dikatakan akan dibuat bagi projek ber­kenaan juga sehingga kini masih belum dilaksanakan.

“Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) beritahu akan adakan pendengaran awam bagi projek ini, itu (dakwaan) saya nafikan sama sekali, tiada pendengaran awam pun.

“Macam mana mahu buat pendengaran awam sedangkan laporan EIA pun tidak menyeluruh. Jadi, kami minta kerajaan negeri supaya menolak laporan EIA dan pelaksanaan projek tersebut,” katanya.

Tambah Meor Razak, pandangan terhadap laporan EIA berkaitan projek ladang hutan itu telah diserahkan kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada April lalu.

Pada Februari lalu, Saarani dilaporkan telah menyembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai pembangunan ladang hutan seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan kemusnahan hutan akibat projek tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya