KOTA KINABALU: Sebanyak lapan kes buaya ditembak di Sungai Pegagau, Tawau direkodkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Sepanjang tempoh sama, dua kematian akibat dibaham buaya lapan kes buaya ditembak dilaporkan dan 25 aduan diterima JHL Tawau berkaitan kehadiran buaya di kawasan komuniti atau perkampungan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai JHL Tawau, Primus Lambut berkata, pemasangan papan tanda amaran akan dilakukan setelah menerima aduan daripada orang awam mengenai kehadiran buaya di kawasan mereka.
Namun, sekiranya kelibat buaya terlalu kerap dilihat di kawasan komuniti atau perkampungan maka, JHL akan memasang perangkap untuk menangkap buaya yang akan dipindahkan ke kawasan jauh dari perkampungan.
Kawasan komuniti ini biasanya menggunakan sungai berhampiran sebagai tempat melakukan aktiviti harian seperti menangkap ikan.
“Langkah awal adalah pasang perangkap terlebih dahulu untuk dipindahkan dan jika populasi buaya semakin banyak hingga tidak terkawal barulah kami akan bertindak menembak buaya.
“Tindakan menembak buaya tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana pelbagai faktor diambil kira sebelum kami memutuskan untuk menembak.
“Seperti dalam insiden terbaharu di sungai berhampiran Kampung Mas-Mas Nasib Kita yang menyaksikan seekor buaya telah ditembak dan dibelah perut bagi mengeluarkan mangsa lelaki warga emas yang dibaham,” katanya.
Menurut beliau, apabila perangkap dipasang, biasanya buaya akan dapat ditangkap dalam tempoh tiga hingga empat hari. Namun, ia bergantung kepada keluasan kawasan kerana ada kalanya tiada buaya yang masuk perangkap.
Sekiranya kawasan itu terlalu luas dan sumber makanan banyak maka, umpan yang dipasang tidak dapat mengumpan buaya masuk ke dalam perangkap yang dipasang.
Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Agustine Tuuga berkata, tidak semua kes buaya yang ditembak mempunyai mayat mangsa di dalam perutnya. Ini kes kedua, mayat mangsa ditemukan dalam perut buaya.
Kes sebegini pernah berlaku lebih 10 tahun lalu di Sungai Paitan, Beluran yang memperlihatkan mayat mangsa ditemukan dalam perut buaya yang ditembak.
Pada Ahad, mayat mangsa warga emas, Addy Bangsa,60, dikeluarkan dari perut buaya yang ditembak di sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita, Tawau. Buaya yang ditembak berukuran 4.3 meter dengan berat 800 kilogram.-UTUSAN