Lapan bulan bentuk kerajaan, MB Perak puas hati - Utusan Malaysia

Lapan bulan bentuk kerajaan, MB Perak puas hati

SAARANI Mohamad (tengah) menyempurnakan pelepasan produk usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023 yang berlangsung di Singapura hujung bulan pada program Hari Bertemu Pelanggan di Gerik hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Genap lapan bulan membentuk kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pentadbirannya.

Tidak menolak wujud perbezaan pendapat ahli exco negeri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, beliau berkata, kepimpinan tetap menyambut baik sebarang pandangan yang disuarakan.

“Alhamdulillah kita tiada gagal untuk mengadakan mesyuarat exco walaupun ada berlaku perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi itu kita raikan.

“Saya rasa setakat ini prestasi kita okey. Sudah tentu kita ada kelemahan di sana sini, tetapi kita tidak lihat kepada kelemahan sebaliknya berkongsi kelebihan masing-masing,” katanya kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 21 November tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Berkenaan program yang dihadirinya hari ini, beliau gembira dengan perkhidmatan yang dapat dinikmati oleh rakyat Perak dan mahu meneruskan aktiviti tersebut.

“Walaupun dibuat di Hulu Perak, penduduk dari kawasan lain turut hadir. Menunjukkan bahawa mereka sedaya upaya menggunakan ruang ini.

“Sesi ini membolehkan rakyat sendiri bertemu Menteri Besar, EXCO dan pentadbiran negeri secara terus,” katanya.

Beliau memaklumkan, sejak siri pertama hingga keenam program itu,  sebanyak 852 aduan telah diterima.

Berkenaan UMNO, Saarani berkata, setiap ahli parti yang disingkirkan berhak membuat rayuan terhadap segala tindakan yang dikenakan kepada mereka termasuklah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, ini kerana ada juga ahli UMNO yang diterima kembali selepas rayuan dikemukakan kepada Majlis Kerja Tertinggi parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya