PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Raja Syahiran menafikan dakwaan kesibukan isterinya yang juga pengacara, Uyaina Arshad yang dikatakan terlalu kuat bekerja menjadi punca dia keguguran anak kedua.
Pemilik nama penuh, Raja Syahiran Raja Azhanrianshah itu berkata, Uyaina sebenarnya lebih aktif bekerja ketika hamil anak pertama dan hanya mengetahui dia hamil selepas terlibat dalam kemalangan kecil.
“Ikutkan ketika hamil Urhan (anak pertama) lebih teruk. Sebelum ini Uyaina lagi banyak kerja sepanjang mengandung, malah disahkan hamil pun lebih lewat.
“Semasa mengandungkan anak pertama, Uyaina jatuh dan sebelum melakukan x-ray (sinar-x), doktor meminta dia menjalani ujian air kencing.
“Ketika itu kami baru tahu bahawa dia sedang hamil,” katanya kepadaUtusan Malaysia ketika sidang akhbar Anugerah Telenovela baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon 44 Hari Bangkitnya Pocong berkata, pada awal kehamilan anak kedua, tiada tanda-tanda keguguran yang ditunjukkan isterinya.
“Tiada tumpah darah pun cuma pergi membuat pemeriksaan di klinik seperti biasa.
“Namun, doktor memberitahu bahawa kandungan sudah tiada. Jadi, kami sendiri tidak tahu bila gugur. Kami anggap tiada rezeki,” tambahnya lagi.
Sementara itu, tambah Syahirah, Uyaina ketika ini reda dengan takdir Tuhan namun tetap bersedih dengan kehilangan cahaya mata kedua.
“Setiap ibu mesti sedih kerana mereka yang membawa kandungan tersebut.
“Dia sedih dan tertekan. Tiada perkataan boleh menggambarkan perasaan kehilangan anak.
“Disebabkan itu saya harus kuat untuk memberikan semangat kepada isteri dan ahli keluarga yang lain,” ujarnya.