SHAH ALAM: Kementerian Kewangan (MOF) akan memastikan bantuan e-wallet RM100 segera diagih kepada rakyat dewasa di negara ini yang berpendapatan di bawah RM100,000 setahun, seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kementeriannya mengambil maklum arahan yang dibuat Menteri Kewangan itu dan akan memaklumkan pengagihan kredit tersebut dalam masa terdekat.
“Dianggarkan kira-kira 10 juta rakyat negara ini yang layak mendapat kredit e-wallet ini dan ia adalah berita baik untuk majoriti rakyat negara ini.
“Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion,” katanya selepas menghadiri majlis tandatangan kerjasama di antara pengendali aplikasi Lulus, CTOS dan CelcomDigi, hari ini.
Anwar pada majlis peluncuran Ekonomi Madani Memperkasakan Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini, mengumumkan bahawa pemberian kredit e-wallet berkenaan dibuat setelah melihat kejayaan program yang sama dibuat kerajaan sebelum ini.
Beliau melihat pemberian kredit tersebut akan menggalakkan rakyat berbelanja menggunakan e-wallet, yang semakin luas penggunaannya.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan memaklumkan kredit e-wallet akan diberikan kepada rakyat yang layak, walaupun ada di antara mereka yang mungkin tidak mengetahui bagaimana untuk menggunakan aplikasi tersebut.
“Saya harap mereka yang tidak pandai menggunakan kemudahan itu rujuklah kepada mereka yang tahu gunakannya. Kita hendak galakkan rakyat Malaysia guna e-wallet ketika mereka berbelanja,” ujarnya. – UTUSAN