KUBANG PASU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melihat keperluan untuk memberi cuti khas kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) jika tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ditetapkan pada 12 Ogos ini bertembung dengan minggu peperiksaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, buat masa ini kementerian belum mengadakan perbincangan mengenai perkara itu memandangkan pengumuman tarikh mengundi baru dibuat semalam.
Katanya, perincian yang akan dilaksanakan pihaknya adalah melibatkan beberapa perkara termasuk jadual peperiksaan pelajar dan takwim pengajian di kesemua IPT seluruh negara sebelum perbincangan di bawa ke peringkat Kabinet untuk keputusan akhir.
“Kita akan lihat kepada keperluan seandainya hari mengundi itu jatuh pada masa yang sesuai untuk diberi cuti kita akan pertimbangkan dan sekiranya tidak (perlu) kita juga tetap akan melihat kaedah untuk memudahkan pelajar melaksanakan tanggungjawab (mengundi).
“Buat masa ini kita belum kemukakan (cadangan itu) lagi sebab mungkin kita menunggu ketika sampai masanya yang saya kira tak lama lagilah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2023 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 29 Julai ini diikuti pengundian awal 8 Ogos sebelum hari mengundi diadakan pada 12 Ogos.
Sebanyak enam negeri terlibat dalam PRN kali ini iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan 2.8 juta pengundi berusia 18 hingga 29 tahun berdaftar sebagai pemilih.
Untuk rekod pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), KPT bersetuju memberi pelepasan selama lima hari kepada pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi. – UTUSAN