KULIM: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menambah baik sistem kuota sedia ada bagi memastikan pelajar bukan bumiputera turut mendapat akses sepatutnya untuk melanjutkan pelajaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kerajaan berpendirian untuk mengekalkan kuota kepada pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan, namun pada masa sama tidak pernah meminggirkan peluang kaum lain.
“Kita memang bersama dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi dalam masa sama di peringkat KPM kita ada banyak penambahbaikan dan saya ingin memberi jaminan bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa (untuk belajar).
“Ini penting khususnya tingkatan enam yang sedang kita lihat dan peluang-peluang yang lain untuk memastikan semua anak kita mendapat akses pendidikan yang sama. Jadi tiada siapa yang patut ditinggalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik peringkat kebangsaan, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri ketika Program Temu Anwar menjelaskan sistem kuota untuk pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).
Anwar berkata, jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu akan tempang atau tidak seimbang sekiranya sistem itu tidak dikekalkan.
“Saya sebutkan beberapa prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan peluang supaya anak-anak Melayu dan bumiputera diberikan tempat yang mampu bersaing, ini kita kekalkan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan penyelenggaraan dan baik pulih sekolah-sekolah daif di seluruh negara menjadi keutamaan KPM termasuk enam buah sekolah di Kedah.
Fadhlina berkata, kesemua projek-projek baik pulih sekolah daif akan dipantau dan perkembangannya akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
“Itu memang dalam perancangan kita dan kita mengambil perhatian khususnya tumpuan dalam konteks sekolah daif dan insya-Allah dari masa ke semasa kita pantau projek ini. Kita akan maklumkan perkembangan berkenaan enam sekolah daif (di Kedah) ini. Sekolah tersebut antaranya ada di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Baling dan Sik,” katanya.
Pada majlis ramah mesra bersama warga masyarakat daerah Kubang Pasu di Changlun semalam, Perdana Menteri berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Kedah, sebanyak RM10.1 juta diperuntukkan bagi pembaikan 40 buah klinik dan enam buah sekolah daif. – UTUSAN