Konsert 5 Rukun tawar tiket harga rahmah - Utusan Malaysia

Konsert 5 Rukun tawar tiket harga rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula serendah RM109 hingga RM265, tiket Konsert 5 Rukun merupakan antara paling termurah pernah ditawarkan sepanjang penganjuran konsert di negara ini sejak pandemik Covid-19 berakhir.

Konsert 5 Rukun bakal menggabungkan lima artis legenda tanah air iaitu Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica dan Daqmie yang diilhamkan hasil penerbitan album Sahabat Selamanya.

Pengarah Urusan MAC Training Centre Sdn. Bhd. merangkap penerbit konsert itu, Samirah Hambali berkata, penganjuran tersebut merupakan usaha kecil daripada pihaknya untuk berdakwah dengan berlandaskan kesederhanaan menyampaikan mesej Islam.

“Alhamdulillah, ini adalah usaha kita untuk menganjurkan konsert ini dan mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada Daqmie untuk membawa lima geng Sahabat Selamanya ke pentas konsert.

“Berteraskan konsep Lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert yang unik serta menarik dalam hiburan dakwah, apatah lagi setiap artis yang ditampilkan memiliki kelompok peminat tersendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, minggu lalu.

Samirah berkata, konsert itu juga adalah satu iltizam untuk syarikatnya dikenali sebagai penganjur dan pengurusan produksi konsert nasyid dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hub lagu-lagu nasyid atau Islamik.

“Kita juga menubuhkan Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors iaitu sebuah platform yang dikhususkan untuk mengumpul dan menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid atau genre muzik vokal Islam,” katanya.

Konsert 5 Rukun mengandungi lima segmen dengan pemilihan lagu hebat menerusi persembahan secara solo, duet serta nyanyian beramai-ramai dan qasidah yang bakal memberikan impak kepada keseluruhan persembahan.

Bagi menambahkan nilai pengalaman yang cukup unik dan luar biasa kepada penonton daripada aspek muzikal, konsert ini juga akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Yazit Zakaria.

Dengan menerapkan gabungan irama nasyid dan irama tradisional serta elemen budaya Malaysia lain, konsert ini bakal menyaksikan pertembungan unik muzik Islamik dan muzik tradisi Melayu yang menjadi cerminan jati diri kita melalui kehidupan seharian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya