KUALA TERENGGANU: Kompleks baharu Pasar Kedai Payang di sini yang dibina sejak lima tahun lalu dijangka mula dibuka kepada pengunjung sebelum akhir tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, pihak kontraktor dijadual menyerahkan bangunan baharu berharga RM69.3 juta itu kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, 19 Julai ini.
Menurutnya, kompleks baharu Pasar Kedai Payang akan menjadi lokasi tumpuan pelancong yang berkunjung di negeri ini untuk membeli-belah produk warisan tempatan seperti kain batik, sutera, songket dan barangan tembaga.
“Peniaga-peniaga yang berniaga di Pasar Kedai Payang sementara berdekatan akan berpindah masuk ke bangunan baharu itu, sebelum perniagaan beroperasi semula seperti biasa.
“Bagaimanapun setakat ini jumlah peniaga yang akan berpindah belum diperincikan dan kita akan meneliti semula senarai peniaga dan jenis perniagaan yang mereka jalankan di pasar sementara ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Pasar tersebut mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 selepas dirasmikan Sultan Terengganu ke-16, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong keempat.
Rosli memberitahu, kompleks Pasar Kedai Payang yang baharu itu menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih selesa kepada pengunjung.
Katanya, antara kemudahan itu adalah penyaman udara, lif, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi yang kesemuanya lebih mesra warga emas, golongan ibu dan kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU).
“Paling istimewa ialah pembinaan semula sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Kedai Payang satu ketika dahulu.
“Ia sangat sinonim dengan penduduk Terengganu dan pembinaannya akan membangkitkan semula nostalgia lama,” katanya. – UTUSAN