KLANG: Selepas lebih 20 tahun berdepan masalah banjir, penduduk di Taman Mutiara Bukit Raja, di sini dapat menarik nafas lega apabila kolam takungan air dibina berhampiran kawasan perumahan itu bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Menurut seorang penduduk, S. Deepak Narayan, 37, rumahnya di Jalan Cokmar 2 sering kali dimasuki air akibat banjir kilat yang berlaku akibat hujan berterusan dalam tempoh masa tiga jam.
“Walaupun saya baru tinggal di sana sejak 2010, namun rasa tertekan dengan situasi tersebut kerana terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan barangan seperti perabot dan barangan elektrik.
“Saya harap kolam takungan ini dapat selesaikan masalah yang dihadapi sejak lebih sedekad. Kalau ia dapat disiapkan lebih cepat, ia lebih bagus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolam Takungan dekat kawasan perumahan tersebut, hari ini.
Upacara pecah tanah tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Izham Hashim yang memaklumkan kolam tersebut berkeluasan kira-kira dua hektar dengan kedalaman 1.7 meter.
“Kolam takungan itu akan dibina di sebuah tanah lapang milik konsesi lebuh raya Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam projek tebatan banjir negeri ini dengan kos pembinaannya berjumlah RM7.3 juta.
“Pembinaan projek ini telah bermula dan dijangka siap dua tahun lagi,” katanya.
Jelasnya, kolam tersebut mampu menahan air sehingga tujuh meter padu sesaat (m3/s) dalam satu-satu waktu, yang mana 5 m3/s akan ditampung kolam itu manakala 2 m3/s pula akan disalurkan di saliran-saliran yang disambungkan pada sistem longkang sedia.
“Dengan adanya kolam takungan ini, dianggarkan 1,000 penduduk yang mendiami 250 buah rumah di sekitar taman ini tidak lagi akan menghadapi banjir kilat sebaik sahaja ia siap.
Katanya Izham lagi, Selangor kini mempunyai lebih 600 buah kolam takungan air yang dibina bagi mengatasi masalah banjir kilat di seluruh negeri dan kerajaan Selangor akan membina membina lebih banyak kolam sekiranya ada kawasan masih alami banjir kilat. – UTUSAN