KKM jalankan siasatan dalaman berhubung kes kematian Dea Maisarah - Utusan Malaysia

KKM jalankan siasatan dalaman berhubung kes kematian Dea Maisarah

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan dalaman termasuk dakwaan pengelasan kematian palsu ‘Brought in Dead’ (BID) berkaitan kes kematian Dea Maisarah Bada Hussein, 10, yang meninggal dunia didakwa akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, siasatan dalaman itu merupakan satu prosedur yang dijalankan untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci berhubung kes berkenaan.

“Seperti yang disebut sebelum ini perkara ini masih dalam siasatan polis jadi kita memberi sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan.

”Namun, kami sendiri menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui lebih lanjut dan secara terperinci berhubung kes itu dengan memanggil pihak berkaitan.

”Ini adalah prosedur biasa dan apa-apa kes yang berlaku memang kita jalankan siasatan dalaman jika ada aduan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (HBP), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan polis yang dibuat bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Bada Hussein, 48, berhubung pengelasan kematian BID dalam sijil atau permit pengebumian anaknya itu yang didakwa palsu dan tidak benar.

Bada dilaporkan berkata, anaknya masih hidup dengan dia mempunyai bukti termasuk resit pembayaran dan berharap pihak berkuasa menyiasat berhubung pengelasan kematian BID tersebut.

Menurut Zaliha, pihaknya juga tidak dapat memberi komen lanjut berkaitan kes tersebut sehingga siasatan selesai.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kes kecuaian yang didakwa berlaku di membabitkan fasiliti kesihatan kerajaan di Pahang dan Melaka, Zaliha berkata, kedua-dua kes tersebut juga sedang diteliti dan disiasat oleh KKM.

”Apa pun keadaannya kita kena tengok kes tersebut bagaimana, bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medical legal’ dan ada disebabkan prosedur biasa.

”Bila ada aduan kita akan jalankan siasatan dan kita jalankan siasatan terperinci bagi kedua-dua kes tersebut,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang mendakwa tangan anak saudaranya yang berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM).

Bagi kes di Pahang pula, seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan awal daripada doktor yang bertugas di klinik kesihatan di Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya