KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan permohonan rayuan penempatan melibatkan seramai 332 pegawai perubatan yang diserap ke jawatan tetap untuk bertukar.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sepanjang tempoh rayuan itu dibuka bermula 9 Jun hingga 24 Jun lalu, KKM menerima 1,843 permohonan daripada pegawai terlibat.
Katanya, kelulusan pertukaran itu melibatkan penempatan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Perkara ini kita putuskan dalam dua mesyuarat iaitu pada 27 Jun dan 24 Julai lalu.
“Penempatan kesemua rayuan itu bermula 31 Julai ini,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Dr. Zaliha berkata, sebelum ini, seramai 4,155 pegawai perubatan telah ditawarkan jawatan tetap dan mereka perlu melapor diri di penempatan yang ditetapkan pada 31 Julai ini.
Katanya, KKM telah menyediakan saluran untuk pegawai merayu, antaranya menerusi emel, google form, rayuan bersemuka dan talian khusus bagi membolehkan mereka menghubungi Bahagian Sumber Manusia.
“Dalam urusan rayuan pula, Jawatankuasa Rayuan yang bersidang menimbang kesemua rayuan pegawai. Namun, tidak semua rayuan dapat diluluskan ekoran tiada kekosongan jawatan di negeri yang dimohon dan pertimbangan diberi kepada rayuan yang lebih memerlukannya.
“Pelbagai pertimbangan dibuat sebelum meluluskan rayuan penempatan pegawai perubatan seperti masalah keluarga, sakit kronik, pegawai wanita yang hamil dan ancaman keselamatan,” ujarnya.
Dr. Zaliha berkata, pegawai perubatan yang gagal boleh mengemukakan rayuan dengan alasan munasabah dan KKM akan terus membuat pertimbangan sewajarnya.
Katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa sektor kesihatan negara tetap dijaga dan sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik. – UTUSAN