Kilang ais operasi tanpa lesen bakal kena denda RM10,000 atau penjara 2 tahun

Kilang ais operasi tanpa lesen bakal kena denda RM10,000 atau penjara 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilik-pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen bakal dikenakan tindakan iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Pengarah Kanan Keselamatan Dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norrani Eksan berkata, kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengambil maklum isu ais kiub ‘haram’ yang diragui tercemar dan boleh mengundang risiko terhadap kesihatan.

Kata beliau, semua kilang yang beroperasi atau menyediakan ais bagi tujuan perniagaan perlu mendapatkan pelesenan KKM berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 394A (4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Sehingga 30 Jun 2023, terdapat sebanyak 198 kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara. Dalam syarat dan proses mendapatkan lesen, pemeriksaan ke atas kilang akan dijalankan dan pensampelan air dan ais diambil bagi memastikan sumber air yang digunakan serta ais dihasilkan adalah selamat.

“Kilang ais juga wajib menjalankan pemantauan sendiri sekurang-kurangnya sekali setahun. Tindakan penggantungan lesen boleh diambil sekiranya pihak kilang gagal untuk menjalankan pemantauan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, terdapat kilang ais haram yang beroperasi tanpa seliaan oleh pihak berkuasa sehingga dibimbangi mendatangkan ancaman kesihatan terhadap pengguna ais kiub tersebut.

Norrani berkata, pada tahun lalu sebanyak 155 pemeriksaan kilang ais dijalankan dan 17 daripadanya diambil tindakan penguatkuasaan termasuk sembilan kilang ais yang tidak berlesen.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, sebanyak 18 pemeriksaan kilang ais dijalankan dan empat kilang ais diambil tindakan penguatkuasaan termasuk satu yang didapati tidak berlesen.

“Sepanjang 2022 hingga Jun 2023, sebanyak 993 sampel ais bagi tujuan pemantauan telah diambil dan sebanyak 80 sampel (lapan peratus) didapati melanggar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna untuk membeli ais daripada kilang yang di lesenkan.

“Maklumat kilang ais yang telah dilesenkan boleh diakses melalui laman sesawang BKKM http://fsq.moh.gov.my,” jelasnya.

Tambahnya, pengguna, media dan pihak-pihak lain yang mempunyai maklumat mengenai kilang ais beroperasi dalam keadaan kotor diminta membuat laporan beserta maklumat terperinci seperti lokasi dan nama kilang kepada KKM.

“Ini dapat membantu siasatan dijalankan bagi memastikan kilang tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan dapat menjamin keselamatan pengguna,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN