Khemah kenduri diterbangkan ribut - Utusan Malaysia

Khemah kenduri diterbangkan ribut

ANGGOTA APM bersama penduduk sedang melakukan kerja membersihkan kawasan khemah yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Taman Kelisa Emas, Bandar Baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: “Saya terdengar bunyi angin yang kuat seperti bersiul sebelum melihat enam buah khemah yang berada di hadapan rumah diterbangkan angin,” kata Zakuan Mohamad Zamri dalam kejadian ribut di Bandar Baharu, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, enam khemah daripada tujuh buah yang dipasang diterbangkan angin sejauh 20 meter ke atas bumbung rumah jirannya sehingga menyebabkan ia pecah.

Katanya, ketika kejadian, Zakuan berada di dalam rumah bersama ahli keluarganya dan bangun awal untuk persiapan majlis kenduri perkahwinan adik perempuannya hari ini.

“Khemah terbabit dipasang oleh pihak katering pada Khamis lalu. Sebuah khemah dijadikan sebagai meja santapan pengantin serta tempat pelamin sementara enam lagi untuk tetamu yang hadir,” katanya ketika ditemui.

Zakuan berkata, mujur khemah yang menempatkan pelamin tersebut tidak diterbangkan angin yang dikhuatiri akan merosakkan lebih banyak peralatan.

“Ketika kami melihat angin yang kuat itu secara tiba-tiba khemah di hadapan rumah terangkat naik ke atas lalu menghempap bumbung rumah jiran. Tiga buah khemah diterbangkan angin ke rumah jiran sebelah rumah sementara tiga buah lagi diterbangkan angin ke lorong belakang rumah saya,” jelasnya.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 15 minit dan mereka tidak sempat menyelamatkan khemah terbabit kerana angin terlalu kuat.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku kepada keluarganya dan pada pukul 6 pagi tadi mereka sempat menghubungi penyedia perkhidmatan sewa khemah yang lain untuk memasang khemah baharu.

“Alhamdulillah kami sempat memasangnya untuk majlis kenduri adik dan terima kasih kepada jiran-jiran serta anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, 14 buah rumah di sini terjejas selepas dilanda ribut terbabit.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan bahagian bumbung rumah terlibat diterbangkan angin dan dihempap khemah akibat angin kencang selain dihempap pokok yang tumbang.

Katanya, 14 buah rumah terlibat itu antaranya 10 di Taman Kelisa Emas, sementara masing-masing sebuah di Kampung 300 Kaki, Kampung Teluk Sera, Kampung Permatang Kerat Telunjuk dan Kampung Kubu Parit Nibong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya