KANGAR: Ketua jabatan serta agensi diingatkan supaya sentiasa memainkan peranan dan menjalankan kawalan penuh termasuk pengawasan tatatertib ke atas semua pegawai dan kakitangan masing-masing dengan penuh berintegriti.
Hal demikian bagi memastikan imej dan kredibiliti penjawat awam di negeri ini sentiasa berada pada tahap yang memuaskan dan dipandang tinggi.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebarang pelanggaran peraturan atau tatakelakuan harus diambil tindakan segera selaras dengan Peraturan-Perataturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Negeri Perlis 1993.
Selain itu, titah baginda, semua ketua jabatan, agensi dan penjawat awam di negeri ini diharap sentiasa memastikan semua perkhidmatan yang diberikan di tahap yang paling memuaskan dengan mengambil kira nilai-nilai yang terbaik.
“Pegawai-pegawai terbaik sahaja wajar berada dalam perkhidmatan awam negeri Perlis dalam memberikan khidmat dengan penuh dedikasi.
“Elemen-elemen penambahbaikan juga harus diterapkan setiap masa agar semua pegawai dan kakitangan mempunyai kompetensi serta kredibiliti dalam membantu organisasi masing-masing mencapai visi dan misi ditetapkan.
“Insya-Allah, penjawat awam negeri ini akan sentiasa disegani serta diteladani atas tujuan perkhidmatan dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyantuni tiga buah keluarga asnaf terpilih yang memerlukan di Kampung Sentua, Utan Aji di sini, semalam.
Asnaf berkenaan, Idrus Baharum,63, Abu Hassan Ahmad,69, dan Mohd Yaser Mohd Kassim,39, menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Masing-masing menerima RM700 setiap seorang dan juga barang keperluan harian ‘Kit MAIPs Peduli’ dan beras fidyah.- UTUSAN