ALOR SETAR: Keserasian antara kerajaan negeri dan Persekutuan diyakini menjadi antara faktor yang akan dipertimbang pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, ketika rakyat dilihat kian mendambakan pentadbiran yang baik serta berwibawa di setiap negeri.
Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau merasakan pola pengundian tidak lagi sama seperti pilihan raya umum (PRU) lalu kerana parti politik bertanding sudah membentuk gabungan besar, terutamanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kini memimpin negara.
“Dalam keadaan Kerajaan Persekutuan dilihat cukup utuh dengan 148 kerusi di Dewan Rakyat, mungkin rakyat akan lihat kepada kelangsungan serta keserasian yang boleh dibentuk selepas PRN antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Perkara itu sudah tentu diambil kira yang akhirnya mampu mendatangkan keuntungan kepada rakyat.
“Saya tak nafikan, mungkin ada ‘rasukan-rasukan’ tertentu bagi membuatkan rakyat terpukau dari segi emosi, psikologi dan persepsi. Namun akan ada juga pertimbangan lain bersandarkan situasi disebut tadi.
“Di sebalik semua itu, BN tetap optimis mewujudkan pentadbiran baik serta wibawa. Di Kedah, ramai pemimpin yang ada pengalaman menjadi anggota pentadbiran di peringkat Persekutuan serta negeri. Kita mungkin akan dapat membentuk kestabilan lebih dinamik antara Persekutuan dan negeri hingga akhirnya mendatangkan keuntungan buat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah dan Penyerahan indeks prestasi utama (KPI) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Sementara itu Reezal berkata, kesiap siagaan jentera UMNO di enam negeri bagi berdepan PRN kali ini dilihat berada pada tahap cukup tinggi.
Sebagai contoh katanya, jentera UMNO Kedah bersedia untuk bekerja bersungguh-sungguh dan tidak terganggu dengan keputusan PRU lepas yang tidak memihak kepada mereka.
“Dalam apa keadaan pun, UMNO di Kedah tidak akan berputus asa kerana rakyat negeri ini masih dambakan sebuah pentadbiran yang baik. Sebab itu kami di sini menggunakan istilah ‘kalih bagi sama’ bagi tujuan mengharmonikan kedua-dua pentadbiran demi rakyat.
“Mengenai sasaran Perikatan Nasional (PN) yang menyasarkan negeri-negeri tertentu untuk ditawan mereka, kita tak boleh halang untuk mereka buat jangkaan sendiri. Saya tak boleh dedah apa yang kita sudah laksanakan namun kesiapsiagaan parti bagi berdepan PRN kini berada di tahap tertinggi,” katanya. – UTUSAN