PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua rakyat Malaysia yang sebelum ini didapati gagal dihubungi berikutan fenomena hujan lebat di Wilayah Utara India, berada dalam keadaan selamat.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, bagaimanapun jumlah mereka adalah seramai 10 orang berbanding 12 orang berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan semalam.
Menurutnya, dua lagi daripada mereka adalah rakyat China dan British dan turut dilaporkan selamat.
“Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah dapat berhubung dengan salah seorang daripada sepuluh rakyat Malaysia tersebut.
“Suruhanjaya Tinggi itu dimaklumkan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan selamat di Manali,” katanya.
Berikutan perkembangan ini, Suruhanjaya Tinggi terlibat akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan tersebut ke New Delhi pada hari ini.
Jelas Wisma Putra, sekiranya rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan tersebut dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari sama.
“Kementerian ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan pihak berkuasa Kerajaan India dalam usaha mengesan kesemua
rakyat Malaysia tersebut, ” katanya.
Dalam kejadian pada 9 Julai lalu, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda utara India, dengan New Delhi dilaporkan menerima hujan paling banyak dalam tempoh beberapa dekad.
Jalan raya di beberapa bahagian di ibu negara ditenggelami air setinggi lutut apabila taburan hujan tertinggi mencecah 153 milimeter dalam sehari direkodkan yang turut menjadi jumlah terbesar sepanjang 40 tahun. – UTUSAN