MELAKA: Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPPM) berjaya menyelesaikan sebanyak 1,249 kes secara rundingan damai bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata, jumlah itu mewakili 57 peratus daripada 2,182 kes yang diselesaikan membabitkan nilai pampasan bernilai RM24.9 juta.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 3,260 kes telah dikendalikan di peringkat jabatan.
“JPPM mengendalikan kes-kes representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang melibatkan kes-kes penamatan perkhidmatan. Jabatan juga berperanan mengendalikan rundingan damai bagi mencari penyelesaian.
“Bagi tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023 (Jun), jabatan telah menyelesaikan kes melalui bayaran pampasan atau ex-gratia sebanyak RM90.4 juta kepada 3,689 pekerja. Bagi tempoh tersebut zon selatan telah menyelesaikan kes melalui pampasan sebanyak RM13.5 juta.
“Penyelesaian di peringkat rundingan damai tidak memerlukan kes dirujuk ke mahkamah. Kes tertinggi yang dikendalikan JPPM adalah pemberhentian kerja dan pemecatan diikuti salah laku,” katanya dalam sidang akhbar selepas Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan 2023 di sini, semalam.
Tambah Mustapha, Indeks Keharmonian Perusahaan Nasional tahun lalu bagi zon selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor adalah sebanyak 79.3 peratus.
Menurutnya, peratusan itu menunjukkan tahap keharmonian di zon berkenaan adalah baik.
“Bagaimanapun ia boleh dipertingkatkan ke tahap cemerlang. Pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada hubungan majikan dan pekerja. Konsep perkongsian antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja yang diamalkan di negara-negara maju boleh dilaksanakan di Malaysia untuk memperkukuh modal insan dan pasaran buruh,” ujarnya. – UTUSAN