Kes murid Tahun Satu dikurung selesai cara baik - Utusan Malaysia

Kes murid Tahun Satu dikurung selesai cara baik

FADHLINA Sidek bersama penduduk setempat yang menyertai Program Korban Perdana Nibong Tebal di Masjid Al-Huda, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Isu murid Tahun Satu yang dikatakan dikurung di dalam sebuah bilik berpagar besi yang kelihatan seperti penjara di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, baru-baru ini telah diselesaikan secara baik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai kedua-dua belah pihak.

“Kes ini telah diputuskan dengab baik di peringkat JPN, jadi kita anggap ia sudah selesai.

“Dalam konteks siasatan JPN, kita telah ambil perhatian semua perkara tersebut dan tindakan yang diambil berhubung isu dibangkitkan telah selesai.

“Tindakan ini diambil adalah untuk memastikan keselamatan keseluruhan, bukan saja murid itu tetapi juga pihak sekolah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menganjurkan program Korban Perdana Nibong Tebal di Masjid Al-Huda, Sungai Bakau, di sini hari ini.

Selasa lalu, tular satu tangkap layar dalam aplikasi WhatsApp sebuah kelas apabila seorang ibu menunjukkan anaknya yang juga murid Tahun Satu diletakkan di dalam bilik berpagar untuk tujuan pengasingan.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya berharap isu terbabit dijadikan pengajaran untuk semua pihak supaya ia tidak berulang.

“KPM akan terus membaiki ekosistem pendidikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang kini memasuki gelombang ketiga berjalan lancar.

Jelas beliau, fokus utama kementerian adalah mentransformasikan pendidikan negara ke arah yang lebih baik.

“Gelombang ketiga ini maksudnya ia (PPPM) sudah hampir ke sampai ke penghujungnya, maka kini adalah tempoh kritikal untuk kita melihat keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan dan ia akan dibawa ke pelan polisi kerangka pendidikan baharu.

“Kementerian sedang menuju kepada polisi dan kerangka pendidikan baharu dengan mengambil kira faktor global dan dasar dalam pembentukan karakter warganegara.

“Justeru, jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan memastikan semuanya lancar termasuklah ‘soft landing’ berkaitan PPPM, malah ia akan diteruskan berdasarkan inisiatif yang telahpun dijalankan,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, media melaporkan mengenai saranan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mencadangkan sistem pendidikan negara dirombak selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

Maszlee yang juga Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) berkata, perkara tersebut perlu diakui oleh semua pihak ekoran kadar keciciran dan kegagalan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan tinggi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya