Kes denggi di Perlis terus meningkat - Utusan Malaysia

Kes denggi di Perlis terus meningkat

MEGAT HASHIRAT HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kes demam denggi di Perlis terus menunjukkan peningkatan dengan 33 kes dilaporkan pada minggu lalu bermula dari tempoh 9 hingga 15 Julai.

Secara keseluruhan sepanjang pertengahan Julai ini, Perlis merekodkan 508 kes iaitu peningkatan 2,573.7 peratus berbanding hanya 19 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, buat masa ini, situasi demam denggi di Perlis masih berada pada tahap membimbangkan.

“Ini adalah peningkatan sebanyak satu kes berbanding minggu sebelumnya malah sehingga kini sebanyak dua kematian telah direkodkan akibat demam denggi di Perlis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Megat Hashirat berkata, sebanyak 52 lokaliti wabak denggi telah dikenal pasti sehingga 15 Julai lalu di mana 13 daripadanya diklasifikasikan sebagai masih aktif.

Katanya, dua lokaliti iaitu Taman Jali dan Taman Melati Indah turut diklasifikasikan sebagai lokasi hotspot.

“Felcra Lubuk Sireh pula dikenal pasti sebagai lokaliti tidak terkawal dengan merekodkan sebanyak 17 kes demam denggi setakat ini.

“Malah terdapat sebanyak tujuh lokaliti wabak baru turut dilaporkan membabitkan Taman Beseri Paya, Beseri; Kampung Bunga Emas, Simpang Empat; RPA Batu 16, Titi Tinggi; Kampung Terus Teritip, Kuala Perlis; Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis; Jalan Miri, Kuala Perlis dan Kampung Tok Paduka, Sena,” katanya.

Di samping itu, Megat Hashirat berkata, sehanyak 182 notis kompaun telah dikeluarkan setakat ini di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 ke atas pemilik premis yang didapati mempunyai pembiakan nyamuk aedes.

Tambahnya, mana-mana pemilik rumah atau premis boleh didenda sehingga RM500 mengikut APSPP 1975 sekiranya didapati bersalah.

“Kerajaan negeri juga mengambil langkah Whole Government Approach dalam mengatasi masalah peningkatan kes demam denggi di Perlis dengan melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan bersama pemimpin masyarakat serta komuniti dalam pelbagai program bagi mengatasi isu ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya