PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menzahirkan rasa simpati terhadap kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Dalam satu kenyataan, beliau menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga kanak-kanak itu, Allahyarhamah Dea Maisarah Bada.
Menurut beliau, kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati privasi keluarga.
“Bersama kita mendoakan agar roh Allahyarhamah aman dan berada dalam lindungan Yang Esa. Semoga keluarga Allahyarhamah tabah menghadapi ujian berat ini,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.
Terdahulu, HTAR dalam maklum balas terhadap kes tersebut memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan kematian kanak-kanak itu ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lalu dan berada dalam keadaan lemah ketika berada di HTAR.
Pesakit berkenaan sudah diberikan rawatan sewajarnya termasuk oleh pakar perubatan kecemasan, namun pesakit tidak dapat diselamatkan.
Jelasnya, punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR.
Kes kematian kanak-kanak itu tular di media sosial termasuk dakwaan kanak-kanak terbabit lewat diberi rawatan sehingga terpaksa menunggu lebih 40 minit dalam keadaan sesak nafas.
Bapa kanak-kanak terbabit dalam perkongsian melalui beberapa video di Facebook menjelaskan mengenai bagaimana tindakan pihak hospital pada hari kejadian.
Dia mendakwa anaknya juga diikat ketika diberikan rawatan oleh pihak hospital.
Selain itu, bapanya mendakwa pihak hospital membuat laporan palsu berhubung kematian anaknya dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN