Kerjasama BN-PH hanya penggal ini, nanti lihat bagaimana - MCA - Utusan Malaysia

Kerjasama BN-PH hanya penggal ini, nanti lihat bagaimana – MCA

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terjalin hanya bagi penggal ini
susulan tiada mana-mana parti berjaya meraih majoriti mudah 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah berikutan daripada kehendak Perlembagaan yang memerlukan pemilihan seorang Perdana Menteri mentadbir negara.

Katanya, koalisi bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan juga tidak mengikat semua parti untuk berada di bawah satu bumbung memandangkan ia hanyalah merupakan usaha sama melibatkan beberapa gabungan.

“Setahu saya interpretasi kita ialah gabungan ini adalah hanya untuk penggal ini memandangkan dalam keadaan tiada mana-mana pihak mendapat lebih daripada 112 kerusi dan itu merupakan pemahaman buat semua.

“Tapi untuk akan datang, mana-mana parti boleh bertanding atas nama apa pun dan bila masa itu tiba barulah kita tengok bagaimana situasinya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Perlis di sini hari ini.

Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan tiada mana-mana gabungan meraih kemenangan lebih 112 kerusi pada PRU15.

Gabungan tersebut sebelum ini turut memeterai permuafakatan dan perjanjian persefahaman bagi mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, MCA bersedia membantu UMNO memandangkan langkah itu merupakan tradisi dalam BN sejak dahulu lagi.

“Sebagai contoh sewaktu di Johor sebelum ini, komponen BN iaitu UMNO dari Negeri Sembilan datang membantu kempen di kawasan saya untuk memenangkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng. Jadi kali ini mereka (UMNO) berdepan PRN, saya rasa kita terpanggil untuk bantu-membantu sesama parti komponen dalam BN,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembentukan kerajaan Perpaduan yang turut terdiri daripada parti MCA dan DAP tidak menjadi sebarang isu berdasarkan kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Perkara seperti ini adalah menjadi kebiasaan di mana-mana negara barat namun di Malaysia kita baru sahaja berdepan situasi di mana berlakunya Parlimen tergantung (hung Parliament).

“Dan di bawah sistem Westminster, kita terpaksa meletak atau memaksa semua parti untuk bekerjasama bagi membantu dalam pembentukan kerajaan di peringkat pusat” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya