KUALA SELANGOR: Kerajaan tidak sesekali mencampuri urusan pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendakwaan tersebut melibatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sendiri yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu yang tidak wajar dilakukan termasuk mana-mana ahli politik.
“Kalau mencaci (menghina institusi raja), (kena tahu) bahawa baginda ini bukan ketua parti (politik), tetapi ketua negeri dan negara. Tetapi, kalau sudah kata (melakukan kesalahan hasutan), kena jawab (di mahkamah),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang, malam tadi.
Kelmarin, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan titah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Perbuatan yang boleh menimbulkan rasa tidak setia kepada Raja-Raja Melayu itu didakwa dilakukan di Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pukul 11 malam, 11 Julai lalu.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan pertuduhan berkenaan jelas bermotifkan politik dan menjejaskan beliau dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) selain satu petunjuk kerajaan dalam ketakutan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan beliau tidak menggunakan Akta Hasutan untuk mengambil tindakan ke atas pihak tertentu yang mengkritik dan mencaci beliau.
“Hari-hari maki ada saya ambil tindakan? Kalau saya saman di mahkamah atau buat laporan polis, saya tidak guna Akta Hasutan. Negara ini ada hukum (undang-undang), siapa siasat?. Polis, kemudian hantar ke Peguam Negara untuk membuat pendakwaan,” ujarnya.
Katanya lagi, segelintir pihak juga tidak sepatutnya meluahkan kemarahan kepadanya kerana laporan terhadap Muhammad Sanusi antaranya dibuat oleh Dewan Diraja Selangor.
“Sultan Selangor anggap itu penghinaan, sebab itu Sultan Selangor sahkan Dewan Diraja buat laporan. Kalau Raja (baginda) kata tak selesai, siapa yang boleh selesai? Polislah. Itu yang dia (polis) ambil tindakan,” jelasnya. – UTUSAN