Kerajaan teruskan kempen elak rakyat jadi mangsa pemerdagangan

Kerajaan teruskan kempen elak rakyat jadi mangsa pemerdagangan

SAIFUDDIN Nasution Ismail pada sidang akhbar Hari Ulang Tahun RELA ke-51 di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara Bukit Selambau di Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kerajaan meneruskan kempen kesedaran kepada rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja di luar negara yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi mangsa pemerdagangan atau buruh paksa di negara terbabit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes-kes seperti itu didapati masih berlaku dan terbaharu membabitkan seramai 127 warga Malaysia yang diselamatkan di Filipina pada 27 Jun lalu. 

“Kita mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terjebak dengan apa-apa bentuk tawaran yang dibuat. Jadi kempen kesedaran kepada orang awam ini kita teruskan (kerana kalau) yang namanya manusia itu lumrah semakin diberi ingatan kadang-kadang ada juga yang masih lagi terlibat. 

“Jadi kalau itu berlaku, kita akan gunakan mekanisme (menyelamat),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-51 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau di sini, hari ini.

Pada 27 Jun lalu, seramai 127 daripada 134 mangsa diselamatkan polis Filipina dalam serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO). Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar di Manila berjaya mengenal pasti 127 individu terbabit sebagai rakyat Malaysia dan akan memberikan bantuan konsular sewajarnya unutk dihantar pulang.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perkara itu akan membabitkan penyelesaian antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau polis dengan polis membabitkan interaksi Polis Asean (Aseanapol). 

Katanya, kaedah itu akan digunakan bagi menyelamatkan mangsa berkaitan di negara ASEAN seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand. 

Dalam pada itu, Saifuddin menyifatkan insiden seorang anggota RELA yang didakwa cuba menghalang pelawat memasuki premis kerajaan di Pulau Pinang sebagai kes terpencil dan tidak perlu diperbesar.

“RELA akan menggunakan mekanisme dalaman untuk penambahbaikan terhadap perkara itu. Saya tak memilih untuk perbesar-besarkan, (perlu) berlaku adil kepada ribuan lagi anggota RELA yang bertugas mengawal premis kerajaan, tak ada masalah.

“Kita ada mekanisme dalaman yang akan ditentukan oleh kepemimpinan RELA (untuk menyelesaikan isu itu),” katanya ketika diminta mengulas insiden itu.

Pada 30 Jun lalu, media melaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah menggantung tugas seorang anggota RELA selepas didakwa cuba menghalang pelawat memasuki pejabatnya di Pulau Pinang kerana didakwa berpakaian tidak sepatutnya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, RELA yang mencapai usia lebih 50 tahun sejak penubuhannya telah melalui beberapa proses evolusi yang sangat membanggakan berbanding objektif asal membuka peluang kepada rakyat terlibat dalam aspek menjaga ketenteraman awam dan keselamatan.

“Penugasan jabatan itu kini semakin kompleks, RELA harus cepat dalam melakukan adaptasi terhadap perubahan masa dan juga cabaran yang akan mereka hadapi, bermaksud gaya berfikir RELA tidak boleh lagi gaya lama. Ia harus respon kepada harapan dan juga kepada cabaran semasa yang bersangkutan dengan aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya