KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu tidak pernah membuat sebarang ugutan kepada mahasiswa dari Terengganu dengan mewajibkan mereka menyertai program yang dianjurkan Yayasan Terengganu (YT) di Bangi, Selangor, Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tuduhan kononnya berlaku ugutan untuk menyekat elaun sara diri terhadap mahasiswa terlibat tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, YT telah mengeluarkan surat jemputan kepada mahasiswa dari negeri ini yang berada di Lembah Klang mengenai program Townhall Mahasiswa Perantau Terengganu bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Bangi.
“Dalam program tersebut, Menteri Besar ada berkongsi tentang pengalaman dan kejayaannya dalam bidang akademik sebagai panduan untuk mahasiswa yang hadir.
“Beliau turut berpesan agar anak-anak mahasiswa melengkapkan diri dengan jati diri Melayu dan Islam serta memantapkan kemahiran insaniah agar terus terkehadapan sama ada ketika di alam universiti mahupun pekerjaan.
“Saya turut hadir dalam program itu dan sepanjang perkongsian selama dua jam tersebut, tidak pernah sekali beliau menyebut apa-apa isu politik, apatah lagi mengajak mahasiswa untuk mengundi Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang tular di media sosial hari ini mengenai wujudnya ugutan untuk menyekat elaun sara diri terhadap mahasiswa di bawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC) yang gagal hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah.
Melalui perkongsian tular media sosial itu, ada pihak mendakwa tindakan memaksa mahasiswa hadir pada program itu tidak patut kepada mereka sedang sibuk membuat persiapan di akhir semester.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, siasatan dalaman akan dilakukan untuk menyiasat sejauh mana kebenaran maklumat yang tular itu.
“(Berkaitan ugutan yang tular di media sosial), biarlah Yayasan Terengganu buat siasatan dahulu, dapatkan maklumat yang betul sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya. – UTUSAN