Kerajaan teliti bantuan kebajikan wartawan sambilan - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti bantuan kebajikan wartawan sambilan

FAHMI Fadzil (kanan) ketika melawat bekas wartawan sambilan, Ng Kan Seng di Kampar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kerajaan akan meneliti bantuan kebajikan untuk wartawan sambilan di negara itu terutama caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sehubungan itu beliau akan mengadakan perbincangan dengan Perkeso dan beberapa pihak lain berkaitan perkara itu.

“Pagi tadi saya ada bercakap dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi untuk kita adakan perbincangan dengan Perkeso dan pihak-pihak lain untuk kita teliti bantuan dari segi caruman yang boleh kita guna pakai untuk para wartawan sambilan.

“Saya lihat sekiranya wartawan sambilan yang mengalami kemalangan sehingga tidak lagi boleh bekerja, ia memakan proses yang lama dan kosnya agak tinggi.

“Saya juga difahamkan jika mereka mengalami kemalangan, mereka tidak akan ditampung oleh Perkeso.

“Jadi ada beberapa perkara kita nak teliti dan tambah baik untuk melengkapkan ekosistem bagi para pengamal media,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menziarahi bekas wartawan sambilan akhbar Cina, Ng Kan Seng di Mambang Di Awan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, D. Arul Rajoo yang juga Pengarah Projek Hawana 2023.

Sementara itu, Fahmi berkata, sumbangan wang tunai dan barangan yang diberikan diharapkan dapat meringankan beban Kan Seng, 68, yang kini uzur dan menjaga abangnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, ia merupakan sumbangan Tabung Kasih Hawana yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

“Tabung ini bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan,” katanya.

Turut menerima sumbangan ialah wartawan sambilan Bernama, Razif Rosli yang menghidap penyakit buah pinggang dan gout.

Secara keseluruhan seramai 10 lagi pengamal media telah menerima sumbangan Tabung Kasih@Hawana sejak 14 April 2023. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya