PUTRAJAYA: Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk menyerahkan semula 55 lot tanah di Sabah dan Sarawak kepada dua kerajaan negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, konsep itu sudah dipersetujui dalam perundingan Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di antara kerajaan kedua-dua negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata, daripada jumlah 55 lot tanah itu, 53 lot adalah di Sarawak dan dua lot di Sabah yang kebanyakannya dibeli Kerajaan Persekutuan sejak 30 tahun lalu.
“Dalam mesyuarat hari ini, 55 lot tanah daripada keseluruhan 219 lot tanah sudah dipersetujui untuk diserahkan, manakala, bakinya masih dalam rundingan dan perbincangan.
“Kami dapati tanah yang akan diambil semula itu tidak dimajukan mungkin disebabkan tanah tidak sesuai, terbiar tanpa pembangunan dan tiada peruntukan untuk dibangunkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, hari ini.
Beliau berkata, sudah pasti Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak akan membayar balik kepada Kerajaan Persekutuan jumlah pampasan, namun ia berdasarkan nilai asal tanah itu ketika dibeli dahulu.
Jelasnya, Jawatankuasa teknikal MA63 akan bermesyuarat segera bagi menentukan nilai pampasan, sudut kewangan dan aspek perundangan bagi pengambilan semula tanah berkenaan.
Katanya, ada di antara lot tanah terbabit tidak pernah dibangunkan selepas diambil alih sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan akhirnya menjadi kawasan penempatan setinggan.
Mengulas mengenai pengambil alihan Pelabuhan Bintulu pula, Fadillah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas akan berbincang untuk mencari kaedah bersesuaian.
“Ketiga-tiga mereka akan duduk bersama (dalam tempoh terdekat) untuk mencari kaedah serta aspek kewangan terutama bagaimana kerajaan negeri akan membayar kepada kerajaan Persekutuan untuk pengambil alihan pelabuhan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan permintaan Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu bertujuan menjadikannya sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri yang akan dikawal selia oleh pihak berkuasa pelabuhan pusat.
Penukaran status pelabuhan untuk dikembalikan kepada Sarawak adalah bersesuaian dengan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak yang meletakkan pelabuhan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Sementara itu, Fadillah berkata, turut dibincangkan adalah mewartakan segera pemberian khas RM300 juta masing-masing kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, secara dasarnya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segala tuntutan dalam MA63 disegerakan dan dikembalikan semula kepada Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, mesyuarat bersetuju secara prinsip berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) untuk memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“RUU ini pernah dibentangkan pada sesi Parlimen yang lalu namun ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dan hari ini kita bersetuju secara prinsip pindaan yang akan dibuat.
“Pindaan ini akan dibawa kepada Peguam Besar Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan pengesahan secara hitam putih serta persetujuan apa yang akan dipinda nanti sebelum dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang,” katanya. – UTUSAN