KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlukan sedikit masa untuk menyelesaikan masalah penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru yang diarahkan untuk berpindah keluar pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, selagi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) membenarkan penduduk tinggal di situ maka, mereka boleh terus berada di situ.
“Kita pun kerajaan yang prihatin, takkan kita mahu halau orang-orang yang belum ada rumah. Tetapi perlu diingatkan, keadaan struktur rumah pangsa itu sudah usang dan mungkin ada beberapa unit yang struktur konkritnya telah retak. Kita juga prihatin terhadap keselamatan rakyat kita,” katanya ketika mengulas mengenai isu penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan akan cuba memindahkan penduduk yang terdiri daripada golongan tidak berkemampuan, warga emas yang daif dan Orang Kurang Upaya (OKU) ke kawasan perumahan lain.
Walau bagaimanapun, proses pemindahan itu bergantung kepada kekosongan rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang telah dikenal pasti seperti di PPR Gayang Ria, Tuaran dan PPR Kibabaig, Penampang.
“Kita akan tunggu makluman daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengenai kekosongan yang ada.
“Jumlah penduduk rumah pangsa agak ramai jadi, untuk tempatkan mereka sekali gus akan mengambil masa dan mempunyai sedikit cabaran. Jadi, kita perlu masa untuk selesaikan isu ini,” katanya.
Sebelum ini, kira-kira 150 orang penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru merayu kepada kerajaan negeri agar menyediakan penempatan baharu kepada mereka yang kini berhadapan tindakan pengusiran daripada LPPB.
Wakil Jawatankuasa Khas Bertindak Penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru, Dewi Awang berkata, arahan berpindah dikeluarkan pada hujung tahun lalu meminta mereka untuk keluar daripada kawasan itu selepas Hari Raya Aidiladha kerana bangunan di situ tidak lagi selamat untuk diduduki.
Maka, mereka merayu untuk diberi penempatan baharu di PPR Kibabaig yang difahamkan masih mempunyai kekosongan rumah. –UTUSAN