SUNGAI PETANI: Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited dalam usaha meningkatkan martabat usahawan desa terutama dalam industri halal global di seluruh dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebolehan pasaran industri halal yang bernilai 5 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang 2030 itu perlu direbut oleh golongan tersebut ketika ini.
“Saya minta usahawan desa ambil peluang ini bukan hanya untuk pasaran tempatan tetapi juga luar negara untuk mempertingkat diri daripada usahawan mikro, kecil dan sederhana seterusnya hasil produk yang boleh dieksport.
“Cuba terokai pasaran antarabangsa. Saya sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia, apa yang kita boleh lakukan membantu usahawan desa ini. Kita ingin pastikan produk halal kita berada di peringkat antarabangsa.
“Kita berusaha dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mewujudkan rangkaian bukan sahaja di rantau ini tetapi di seluruh dunia. Untuk tahun ini kita dapati unjuran pasaran makanan kita cukup besar,” katanya ketika berucap pada program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD), hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan program tersebut yang berlangsung di Dataran Amanjaya, di sini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya bekerjasama dengan kementerian lain termasuk agensi di bawahnya untuk merealisasikan usaha tersebut terutama memberi bimbingan dan latihan kepada usahawan terlibat.
“Bantuan ini bukan sekadar usahawan mikro kerana keutamaan KKDW adalah kepedulian menaik taraf mereka. Kita tahu dalam keadaan sekarang hanya lebih sedikit 30 peratus negara kita yang padat di pinggir bandar dan bandar.
“Atas sebab itu KKDW diberi peruntukan lebih RM11.6 bilion untuk luar bandar yang bererti kita tidak pernah pinggirkan masyarakat desa di seluruh negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid pada masa sama menzahirkan kekecewaan berkaitan corak pengundian masyarakat desa khususnya ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang terpengaruh dengan politik fitnah sehingga beralih arah kepada parti lain.
“Kita lihat paten pengundi bahawa hakikatnya 71 peratus undi di negara ini walaupun tinggal di bandar dan pinggir bandar mereka masih mengundi di luar bandar. Mereka banyak pengaruhi ibu bapa dan rakan sebaya di kampung.
“Kita ingatkan mereka bawah kerajaan membantu masyarakat desa dengan peruntukan yang banyak bagi TVET dan latihan. Namun sikap dua tiga hari sebelum hari besar (hari pengundian) ada yang datang dari luar mempengaruhi minda mereka. Kita dengan agensi turun untuk bantu rakyat. Jangan terpengaruh hanya dengan sedekah yang sedikit,” katanya. –UTUSAN