Kerajaan komited naik taraf klinik kesihatan, sekolah daif

Kerajaan komited naik taraf klinik kesihatan, sekolah daif

ANWAR Ibrahim menyantuni penerima bantuan pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun.- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHANGLUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan komited dalam usaha menaik taraf klinik kesihatan serta sekolah daif di negara ini demi meningkatkan mutu kesihatan dan pendidikan negara.

Kata beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion sepanjang tahun ini untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan tersebut termasuk di Kedah.

“Tahun ini juga RM1.4 bilion, selesaikan semua iaitu baiki tandas, bumbung dan dinding sekolah (daif) yang mana Jabatan Kerja Raya buat, Pejabat Pendidikan Daerah buat tetapi jangan bagi tahu saya tak boleh baiki tandas di semua sekolah di negara kita termasuk di negeri Kedah.

“Di daerah Kubang Pasu kalau ada sekolah  tandas yang tak dibaiki, perlukan peruntukan lagi, beritahu pejabat daerah dan pejabat daerah boleh hubungi saya, tak cukup (peruntukan) kita tambah dan selesaikan masalah tandas di sekolah ini.

“Apa jenis negara, apa dia hidup di Malaysia, hidup negara Islam tetapi tandas sekolah tak baiki,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun, di sini hari ini.

Berucap lanjut kata Perdana Menteri, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10.1 juta bagi pembaikan 40 klinik dan enam sekolah daif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Kedah.

Manakala, khusus bagi daerah Kubang Pasu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta bagi kerja-kerja pembaikan empat klinik dan RM300,000 diperuntukkan bagi pembaikan sebuah sekolah daif.

Kata beliau, bagi usaha menegakkan syiar Islam katanya, Kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan bagi pembinaan Masjid Changlun itu yang kini menelan kos RM5.7 juta.

“Pada asalnya kerajaan meluluskan pada tahun 2017 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 juta. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini mengalami kelewatan kemajuan fizikal disebabkan beberapa faktor sehingga perlu dibuat penamatan kontrak.

“Atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan, saya merasakan masjid ini perlu disiapkan dengan segera bagi memberi manfaat kepada kariah setempat,” katanya.

Anwar turut mengulangi pendirian Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan membantu 130,000 ketua isi rumah (KIR) keluar daripada permasalahan itu pada hujung tahun ini.

“Saya kata noktahkan kemiskinan tegar, nak hapuskan kemiskinan ambil masa, tetapi kemiskinan tegar ini makna kata susu anak tidak ada, pakaian tidak cukup, nak hantar anak pergi sekolah tidak ada duit, suruh anak berhenti (sekolah) sebab tak cukup makan.

“Kita akan noktahkan kemiskinan tegar 130,000 keluarga, sebab itu bila saya di Parlimen ada orang bantah, ‘mana boleh buat, cakap saja’, tak apa saya kata Insya-Allah, sebelum akhir tahun ini 130,000 ini mesti kita bantu dengan segala jentera yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya