PUTRAJAYA: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che’gu Bard, Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen kerana mengeluarkan dan menyebarkan beberapa kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri.
Ahmad Farhan berkata, kenyataan fitnah itu dikenal pasti melalui kenyataan media Che’gu Bard setelah beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ucapan Wan Saiful semasa ceramah ‘isu-isu semasa kawasan Jerlun’ beberapa hari lepas.
Ia terkait mengenai kediaman peribadi Perdana Menteri di Sungai Long dan beberapa kenderaan yang digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adalah jelas bahawa kesemua kenyataan tersebut adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik.
“Bukti-bukti konklusif dan menyeluruh yang menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan palsu tersebut akan dikemukakan kepada pihak polis semasa siasatan kelak,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini hari ini.
Ahmad Farhan turut mahu semua pihak terutama saudara muslim seagama bahawa selaku umat Islam dan orang yang beriman hendaklah berpegang kepada adab-adab yang dianjurkan dalam syariat.
Katanya, setiap orang Islam hendaklah berhati-hati apabila mendengar berita-berita terutamanya yang disampaikan oleh mereka yang diragui keperibadian dan akhlak mereka.
“Ini dengan cara ‘bertabayyun’ iaitu memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan bukannya menyebarkan berita tidak sahih
“Lebih teruk lagi mengolah dan menambah berita palsu tersebut dengan hasutan dan fitnah serta menyemai kebencian dan permusuhan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, Che’GuBard mendesak Anwar menjelaskan status kediaman peribadi yang didiaminya ketika ini di Bandar Sungai Long.
Katanya, desakan itu timbul selepas carian menunjukkan banglo mewah itu milik seorang taikun Cina yang juga terkait dengan projek perniagaan berbilion ringgit. – UTUSAN