KLANG: Orang Melayu khususnya ahli dan penyokong UMNO disaran hentikan perasaan fobia terhadap DAP berikutan dinamika politik pada masa kini sudah berubah tidak lagi seperti dahulu apabila Barisan Nasional (BN) kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perpaduan.
Saranan tersebut dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengingatkan tentang deklarasi-deklarasi parti didakwanya berasaskan bangsa Cina itu mendukung Islam, Melayu, raja dan bangsa (IMBR).
“Apa beza DAP, MCA dan Gerakan, ini kepada mereka yang fobia tentang DAP. Mereka parti yang berteraskan bangsa Cina, DAP; MCA; Gerakan. Sejak 2008 masyarakat Cina mula memilih parti itu, pada 2018 hampir 95 peratus masyarakat Cina pilih DAP, lima peratus pilih BN-MCA.
“Baru-baru ini pun masyarakat Cina memilih parti itu, sampai bila kita ini pun dalam dinamika politik kita tidak mahu untuk membuka minda,” katanya pada pusingan pertama Townhall UMNO Bahagian Kota Raja, malam tadi.
Dalam sesi sama, beliau yang sebelum ini begitu agresif menentang DAP sebelum ini juga mengingatkan tentang konsensus parti itu yang membuat deklarasi bagi menyokong IMBR.
“Saya hendak beritahu, pada 2012 DAP membuat satu Deklarasi Shah Alam kalau tak silap, mereka menyokong IMRB, pada 2016 apabila parti itu berusia 50 tahun, Deklarasi DAP@50, mereka juga menyebut mereka mendukung IRMB.
“Pada Disember 2022, di Dewan ICU di Bangunan Perdana Putra, ditandatangani perjanjian antara parti-parti Kerajaan Perpaduan juga menyentuh tentang IRMB yang DAP juga menyokongnya.
“MCA, Gerakan menyokong IRMB. Jadi kenapa ‘duk’ fobia tentang DAP, jadi ini satu fakta dalam dinamika politik masa kini,” tegasnya.
Justeru, Timbalan Menteri Kewangan 1 itu menjelaskan, sokongan daripada penyokong-penyokong bukan Melayu daripada DAP dan PKR adalah penting untuk memastikan BN memenangi 12 kerusi ditandinginya di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kalau kita hendak menang 12 kerusi, kita perlu sokongan orang-orang Cina di kerusi itu kerana Melayu berpecah, kalau kita hendak menang, kita kena ada sokongan masyarakat India yang ramai menyokong PKR.
“Oleh kerana itu, kalau kita memberi sokongan kepada parti Kerajaan Perpaduan, insya-Allah, 12 kerusi itu kita boleh menang dan sebahagian daripada pemimpin kita boleh jadi exco kerajaan negeri dan untuk kali pertama dalam tempoh begitu lama,” ujarnya. – UTUSAN