PETALING JAYA: Hasrat peminat untuk menyaksikan secara live Superman Is Dead bakal tercapai apabila band punk rock dari Indonesia itu membuat kemunculan khas sempena konsert SoundCircus Festival penghujung bulan ini.
Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas AOSM & SoundCircus, Asep Ahmad Iskandar berkata penampilan band berkenaan merupakan antara kelainan yang dibawakan sempena konsert itu nanti.
“Istimewanya SoundCircus Festival 2023 kali ini adalah persembahan sistem visual dan audio yang lebih mentap selain kemunculan band Superman Is Dead.
“Mereka akan mempersembahkan 16 buah lagu sempena konsert itu nanti.
“Saya harap pengunjung terhibur dengan persembahan dan suasana yang kami janjikan nanti. Teruskan sokongan untuk industri muzik kita,” katanya dalam kenyataan.
Festival muzik yang disifatkan antara terbesar tahun ini itu turut menampilkan barisan pemuzik dan band tempatan antaranya No Good, Plague Of Happiness, MC16, Skudap Skudip, Dum Dum Tak, Krusty, Restraint, Naratu, Armpunk Syndicate dan ramai lagi.
SoundCircus Festival bakal diadakan pada 29 dan 30 Julai ini bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Tiket dijual pada harga RM120 (tiket festival), RM135 (All Access), RM360 (Group Buy 4 pax), RM35 (Exhibition Ticket) dan RM60 (Fastlane).
Layari laman sesawang www.artofspeedmy.com untuk maklumat lanjut.