Kempen baharu BN-PH di Sungai Panjang - Utusan Malaysia

Kempen baharu BN-PH di Sungai Panjang

Kempen
MOHD. IMRAN TAMRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Aura kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dirasakan kelainannya apabila jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengarak bendera parti yang bertanding.

Menurut calon dan juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin, ahli-ahli jentera akan menyarung pakaian parti masing-masing namun mengarak panji bendera pihak yang bertanding.

“Di DUN Sungai Panjang, BN yang bertanding, keseluruhan jentera BN dan PH akan mengarak panji-panji BN sahaja di Sungai Panjang. Di Sekinchan pula kedua-dua jentera akan mengarak bendera PH di sana kerana calonnya adalah PH.

“Tetapi kita tidak juga memaksa ataupun mengarahkan jentera PH kebetulan BN bertanding dia kena pakai baju BN, tidak. Begitu juga di Sekinchan. Pakai baju masing-masing, tetapi bendera ataupun lambang yang kita bawa di kawasan ditandingi BN adalah bendera BN dan begitu juga PH.

“Jadi di Sungai Besar kita dapat terjemahkan perpaduan dan juga keharmonian tersebut kerana kita ada dua DUN yang masing-masing ditandingi PH dan BN,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dua DUN dalam Parlimen Sungai Besar menyaksikan penyertaan gabungan BN-PH iaitu BN diwakili Mohd. Imran di Sungai Panjang dan calon PH, Ng Suee Lim di Sekinchan masing-masing merupakan penyandang kerusi tersebut akan menentang seteru, Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Mohd. Imran yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor memaklumkan, kempen pada kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk jentera bagi mendekati penyokong dan pengundi parti berbeza menerusi semangat perpaduan.

“Kempen pada kali ini berbeza berbanding pilihan raya lepas, kerana kita mempunyai rakan kongsi baharu yang perlu lebih mengenali antara satu sama lain, jadi antara perancangannya adalah lebih mengenali kawan baharu supaya boleh bergerak dalam keadaan harmoni, tersusun, teratur dan juga menepati sasaran.

“Supaya mendapat maklumbalas lebih baik sekiranya kita diberikan sekali lagi amanah, tanggungjawab dan kepercayaan serta mandat untuk menerajui DUN Sungai Panjang untuk kita laksanakan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya