KUALA TERENGGANU: Keluarga mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman mengadakan solat hajat bagi memudahkan urusan mencari dua lagi ahli keluarga mereka yang belum ditemukan selepas kejadian itu, Sabtu lalu.
Ibu saudara Putri Nor Fatin Karim, 14, salah seorang yang masih hilang, Rosilawati Yassin, 49, berkata, solat hajat itu diadakan di Felda Lepar Hilir 3, Kuantan sejak Isnin lalu.
Menurutnya, pihak keluarga turut bertemu penceramah bebas bagi memohon doa semua mangsa ditemukan.
“Itu antara ikhtiar dilakukan kami bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
“Seluruh ahli keluarga tidak putus-putus berdoa dan meminta diberi petunjuk supaya dua lagi mangsa itu ditemukan dengan segera,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Menurut Rosilawati, pihak keluarga berterima kasih kepada pasukan SAR yang bertungkus-lumus mencari 10 orang mangsa dengan lapan daripadanya sudah ditemui dan dikebumikan.
Katanya, mangsa terakhir dijumpai, Putri Alleya Maisarah, 16, selamat disemadikan bersebelahan kubur tujuh ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, 11.40 malam semalam.
“Salah seorang mangsa, Putri Balqis Izzati, 18, sepatutnya mula bekerja dengan saya di kilang kayu namun tidak sempat selepas kejadian ini meragut nyawanya,” ujarnya. – UTUSAN