KUANTAN: “Selagi tak jumpa selagi itu kami sekeluarga akan melakukan solat hajat dan tidak putus berdoa,” kata Eiyi Johari, 60, datuk kepada seorang lagi mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu yang masih belum ditemukan.
Eiyi berharap jasad cucunya, Putri Nor Fatin Karim, 14, yang merupakan mangsa ke-10 kejadian terbabit ditemukan segera.
“Hari ini ada seorang cucu berada di sana. Mungkin esok saya dan anak akan ke sana bagi melihat keadaan,” katanya ketika ditemui di Masjid Ubbudiah, Felda Lepar Hilir 3 di sini.
Bagi nenek mangsa, Halimah Kasim, 63, mereka sekeluarga berharap cucunya itu dapat kembali untuk disemadikan bersama ahli keluarganya yang lain.
“Kalau boleh saya nak cucu saya itu ditemukan supaya dapat bawa balik dan kebumikannya bersama ibu, ayah dan adik-beradiknya,” katanya.
Mereka merakam rasa terharu atas kesudian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli melawat mereka.
Pada 4 Julai lalu, tujuh mangsa, Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39, dan lima anak mereka, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4, dan Putri Balqis Izzati, 18, dikebumikan satu liang lahad.
Jenazah kelapan, Putri Alleya Maisarah, 16, pula dikebumikan pada keesokannya manakala mangsa kesembilan, Muhammad Fikri Saliman, 24, Sabtu lalu di Batu Pahat, Johor.
Mangsa ke-10, Putri Nor Fatin, 14, masih belum ditemukan. – UTUSAN