KEMAMAN: Fenomena kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih, kelmarin, dipercayai menyebabkan peningkatan air sungai yang mendadak setinggi lebih lima meter.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan kesan air dan lumpur yang dilihat di lokasi kejadian, pihaknya percaya kejadian berlaku pantas menyebabkan 10 mangsa yang berada di lokasi kejadian berkemungkinan tidak sempat menyelamatkan diri.
“Kita percaya kejadian berlaku sekitar pukul 5 hingga 6 petang kelmarin yang mana ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai sedang leka mandi di kawasan jeram tersebut dan air mendadak naik dengan laju.
“Daripada kesan yang dilihat, kita percaya air meningkat mendadak dengan agak tinggi sehingga lima hingga 10 meter,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Setakat ini, dua mangsa ditemukan lemas iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, petang semalam, sementara lapan lagi hilang.
Hanyan berkata, kereta jenis Proton Gen2 dan motosikal SYM dipercayai milik mangsa ditemukan dalam lumpur di tempat kejadian selepas air surut.
“Selain itu, kita turut menemukan barang peribadi mangsa termasuk pakaian, selipar, makanan dan topi keledar di dalam kereta tersebut,” katanya.
Hanyan berharap lapan lagi mangsa yang dikhuatiri hilang, ditemukan dalam keadaan selamat.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan kekuatan 50 anggota dari pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam disambung kira-kira pukul 8 pagi ini. – UTUSAN