Kebolehpasaran graduan UUM meningkat 10 peratus

Kebolehpasaran graduan UUM meningkat 10 peratus

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan skrol ijazah kepada graduan UUM sempena Majlis Konvokesyen UUM ke-35 di Sintok. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINTOK: Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan peningkatan kepada 94.4 peratus tahun lalu berbanding 84.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, peningkatan sebanyak 10 peratus itu sekali gus menunjukkan kebanyakan graduan yang menaiki pentas pada Konvokesyen UUM kali ke-35 ini sudah berada dalam alam pekerjaan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Wong Wei Jie, graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) kerana berjaya menempatkan diri di sebuah syarikat Denmark, Maersk Omnichannel Fulfilment yang berpangkalan di Singapura. 

“Sebagai Global Management Trainee, beliau mendapat gaji permulaan kira-kira RM11,000. Begitu juga bagi graduan, Ahmad Afiq Iqmal Ahmad Said yang berjaya mendapat kerja di KPMG, Petaling Jaya dengan gaji permulaan hampir RM5,000,” katanya ketika berucap pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UUM ke-35 di UUM Sintok, di sini hari ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merangkap Canselor UUM berkenan hadir bagi mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah pada majlis konvokesyen tersebut.

Seramai 6,694 graduan yang menamatkan pengajian pada tahun lalu menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen itu yang bermula semalam hingga Khamis ini.

Mohd. Foad turut mengucapkan tahniah kepada Farah Ilyana Mohd. Anuar yang kini bekerja sebagai Penganalisis Penyelidikan dan Advokasi di Bait Al Amanah, Kuala Lumpur kerana memperoleh ijazah dalam program elit iaitu Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93.

“Tahniah juga saya ucapkan kepada graduan dari Pusat Pengajian Perakaunan yang turut menerima anugerah kali ini iaitu K. Thivyaa yang kini bekerja sebagai Eksekutif Perakaunan Batu Kawan Berhad di Ipoh; Ain Fadhilah Md. Daud yang bekerja di Pricewaterhouse Cooper (PwC) sebagai IT Audit dan Noor Muniera Farhin Zambri yang bekerja sebagai Eksekutif Kewangan di TNB Fuel Services Sdn Bhd., Kuala Lumpur.

“Majikan memberikan mereka bertiga permulaan gaji antara RM3,200 hingga RM5,500,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah alumni UUM kini mencecah 160,187 orang sejak universiti ditubuhkan pada 1984 dan sepanjang enam tahun ini, Pusat Alumni UUM merekodkan seramai 1,067 alumni yang merupakan ketua eksekutif atau ketua pegawai eksekutif di syarikat-syarikat swasta. 

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 36.4 peratus alumni merupakan pekerja syarikat swasta, 35 peratus alumni bekerja di sektor awam dan 17.4 peratus alumni UUM bekerja di syarikat swasta multinasional,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN