MATLAMAT akhir sistem pendidikan moden mestilah menjadikan murid-murid sebagai insan yang mampu berfikir dengan rasional, kritis dan kreatif. Melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah, murid-murid dilatih untuk menggunakan kelima-lima pancaindera yang mereka ada sama ada dengan cara mendengar, melihat, menyentuh, merasa dan menghidu untuk memperoleh pengalaman pembelajaran.
Semua pengalaman melalui pancaindera ini kemudiannya akan membawa murid-murid kepada satu perkara baru iaitu melakukan proses menaakul atau berfikir.
Melalui proses berfikir inilah murid-murid diharapkan akan mengetahui, memahami, mengamalkan perkara baru hasil pembelajaran mereka. Malah bagi membina kematangan kognitif murid-murid yang lebih tinggi, mereka juga diberikan aras penaakulan lebih mencabar iaitu dengan melakukan analisis, mensintesis, menilai serta menjana idea baru di dalam sesi pembelajaran bersama guru-guru.
Inilah apa yang dihasratkan oleh pakar psikologi Benjamin Bloom apabila beliau membina model yang dikenali sebagai Taksonomi Kognitif Bloom melalui bukunya bertajuk Taxonomy of Educational Objectives yang diterbitkan pada 1956.
Bloom percaya pengajaran guru hanya menjadi bermakna dan berguna apabila berjaya mencapai matlamat meningkatkan keupayaan kognitif murid-murid. Sesuatu pengajaran yang tidak berjaya meningkatkan aras kognitif murid-murid dianggap sebagai pengajaran yang gagal. Itulah sebabnya Bloom menekankan pentingnya untuk guru meletakkan objektif pembelajaran apabila menggunakan aras kognitif di dalam membuat perancangan pengajaran serta semasa menyediakan instrumen pentaksiran pembelajaran.
Di Malaysia, sejak awal sistem pendidikan diwujudkan, kita juga mempunyai matlamat supaya pendidikan mestilah meningkatkan aras kognitif anak-anak kita. Secara nyata usaha ini dimulakan pada 1994 apabila KPM memperkenalkan Penerapan Komponen Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) pada 1994.
Bagaimanapun usaha ini dihentikan kerana didapati pelaksanaan KBKK tidak berkesan. Hanya pada 2014, sekali lagi usaha untuk meningkatkan aras kognitif dilakukan secara terancang apabila KPM mula memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai mekanisme baru bagi melaksanakan dan mengesan proses berfikir kepada murid-murid.
Bagi mengukuhkan amalan berfikir dan memastikan KBAT berjaya dan tidak gagal seperti KBKK, KPM menggunakan pendekatan meletakkan sasaran meningkatkan peratus soalan KBAT secara berperingkat di dalam peperiksaan SPM sehingga mencapai 50 peratus pada 2022.
Kesan kepada pendekatan ini, banyak rungutan khususnya dalam kalangan calon SPM, para ibu bapa dan juga guru yang memaklumkan tahap kesukaran soalan SPM meningkat dan menyebabkan murid-murid menghadapi kesukaran menjawab soalan yang dikategorikan sebagai beraras tinggi.
Walaupun saling berkaitan, sebenarnya ada beberapa salah faham tentang konsep Taksonomi Kognitif Bloom dan KBAT. Pertama, Benjamin Bloom menjelaskan di dalam bukunya tujuan beliau membina taksonomi kognitif adalah untuk menjadi panduan guru merancang pengajaran dan menyediakan aras kognitif pentaksiran. Oleh itu, taksonomi Bloom bukanlah alat untuk meningkatkan kemahiran berfikir murid-murid seperti penggunaan mnemonik, peta minda atau Six Thinking Hats yang diperkenalkan Edward de Bono.
Taksonomi Bloom yang dibina oleh Bloom adalah panduan tentang aras kognitif dan ia bukannya alat untuk meningkatkan kemahiran berfikir. Jika murid berjaya meningkatkan keupayaan kognitif, misalnya dari aras pengetahuan kepada aras kefahaman, itu adalah petunjuk kepada aras kognitif penguasaan isi kandungan pembelajaran tanpa mengira mereka menggunakan kemahiran berfikir ataupun tidak.
Salah faham kedua adalah, setiap soalan KBAT boleh berdiri sendiri. Sedangkan apabila kita memahami panduan taksonomi Bloom, secara jelas diterangkan proses taksonomi itu berlaku secara hierarki. Maksudnya bermula dengan aras tahu, faham, aplikasi, analisis, sintesis, nilai dan jana. Maksudnya, adalah kurang tepat apabila guru terus sahaja bertanya soalan menggunakan aras tinggi tanpa memulakan dengan soalan aras rendah terlebih dahulu. Inilah yang menyebabkan ramai murid merasakan ada soalan sukar untuk mereka jawab kerana pendekatan guru yang tidak konstruktif apabila tidak memulakan soalan pada aras rendah terlebih dahulu.
Oleh kerana mereka tidak dibiasakan dengan pendekatan taksonomi Bloom yang betul, ini juga yang menjadi sebab mengapa ramai murid merasakan soalan peperiksaan SPM adalah sukar untuk dijawab. Sedangkan mereka akan lebih mudah menjawab jika dibiasakan dengan soalan dengan aras yang lebih rendah dan seterusnya meningkat ke aras lebih tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Bagi menyelesaikan isu soalan SPM yang dikatakan sukar kerana mempunyai bilangan soalan KBAT yang semakin banyak, pendekatan dalam pengajaran di bilik darjah juga mestilah diperkemaskan. Guru perlu mempunyai kemahiran untuk bertanya soalan formatif secara berbagai aras taksonomi di dalam bilik darjah.
Guru juga mestilah di dalam keadaan ‘sedar’ dan telah merancang apakah aras soalan yang mereka akan tanyakan kepada murid di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, adalah kurang sesuai di awal pengajaran guru sudah menggunakan soalan pada aras sintesis atau aras penilaian apabila mengemukakan soalan kepada murid sedangkan pengajaran baru bermula.
Walaupun pelaksanaan KBAT adalah baik dan selari dengan matlamat pendidikan untuk meningkatkan daya fikir murid-murid, tetapi ia harus dilakukan secara konstruktif dan terancang. Seperti yang ditegaskan Bloom apabila beliau memperkenalkan Taksonomi Kognitif Bloom, apa yang penting setiap guru dapat menggunakan panduan aras kognitif ini dengan hasrat untuk meningkatkan motivasi dan memudahkan pembelajaran murid-murid.
Malangnya, seperti apa yang dikeluhkan oleh ramai murid, ibu bapa dan guru, apa yang sedang berlaku dalam isu pelaksanaan KBAT, nampaknya KBAT sedang melemahkan minat dan motivasi sebahagian besar murid-murid.
Dr. Anuar Ahmad Pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).