Kayakan anak dan kroni, mana bukti? - Tun M

Kayakan anak dan kroni, mana bukti? – Tun M

ANWAR IBRAHIM dan DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, segala dakwaan dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekas Perdana Menteri itu ‘mengkayakan anak dan kroni’ adalah tidak berasas dan tanpa sebarang bukti.

Ini kerana walaupun diminta untuk diberikan sesalinan 21 dokumen yang disebut dalam pembelaannya, Anwar enggan berbuat demikian.

“Sebagai Perdana Menteri, defendan (Anwar) mempunyai akses atau kuasa untuk memastikan bahawa segala apa yang dinyatakan adalah benar secara fakta dan disokong oleh dokumen-dokumen yang sah dan benar. Bukannya berdasarkan kepada rasa syak munasabah.

“Oleh sebab itu, plaintif pada 23 Jun lalu telah memfailkan ‘Notis Untuk Mengemukakan Dokumen Yang Disebut Dalam Pliding Atau Afidavit’ di bawah Aturan 24 Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memastikan segala fakta yang telah dinyatakan oleh defendan di pembelaan tersebut adalah berdasarkan kepada fakta atau sebaliknya.

“Namun, defendan enggan mengemukakan dokumen-dokumen yang dimohon tersebut dengan alasan yang tidak munasabah  sedangkan notis tersebut boleh difailkan dan dipohon dokumen tersebut untuk dikemukakan pada bila-bila masa selepas pembelaan tersebut difailkan,” katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian dalam jawapan kepada pembelaan Anwar berhubung kes saman fitnah RM150 juta yang difailkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu terhadap bekas Timbalannya.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Berhubung isu bail-out syarikat Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) (kini dikenali sebagai Pos Logistics pada 1997 yang mana anaknya Mirzan merupakan pemegang saham terbesar dan pengarah, Dr. Mahathir menyatakan bahawa Anwar sendiri di Parlimen menafikan ia merupakan satu bail-out.

Dalam laporan berita oleh Bernama bertarikh 20 Mac 1998, Anwar dalam temuramah menyatakan bahawa isu KPB ‘bukanlah sebuah bail-out’, malahan ia adalah keputusan yang berasaskan kepada ‘business decision’.

Merujuk kepada pemberian kontrak optik fiber kepada Opcom Sdn. Bhd., Dr Mahathir menjelaskan syarikat terbabit dari awal penubuhannya pada November 1994 telah menjalankan operasi pembekalan kabel fiber optik dan penghasilan kabel fiber optik serta telah menjalinkan kerjasama bersama Ericsson Network Technologies AB bagi tujuan serupa.

“Defendan sendiri dalam pembelaannya mengakui bahawa Telekom Malaysia Berhad secara sendirinya dan sukarela mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi kontrak fiber optik tersebut.

“Itu menunjukkan bahawa tiada sebarang campur tangan atau arahan asal atau cadangan yang dikeluarkan oleh plaintif untuk memberikan kontrak tersebut kepada Opcom dan jelas membuktikan bahawa Opcom adalah satu-satunya syarikat milikan bumiputera yang berkelayakan untuk menerima atau melaksanakan kerja-kerja di dalam kontrak tersebut serta didaftarkan di bawah Program Pembangunan Vendor Telekom,” kata Dr Mahathir.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang salah guna kuasa arah tindakannya ‘memperkayakan anak-anak’ beliau, sebaliknya kesemua hasil perniagaan mereka adalah hasil daripada usaha dan merit syarikat yang dimiliki mereka.

Katanya, anak-anaknya tidak sekali pun terhalang dari segi undang-undang untuk menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan sepanjang masa material berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menjawab pembelaan Anwar berhubung dakwaan ‘mengkayakan kroninya’, Dr. Mahathir menyatakan kenyataan oleh Ahli PArlimen Tambun itu kononnya plaintif ‘memberi kebenaran’ kepada mendiang Tan Sri Eric Chia dan Perwaja Steel untuk ‘berbuat sesuka hatinya’ itu adalah sebuah tuduhan yang berat tanpa sebarang bukti dan asas yang kukuh.

“Tempoh yang dikatakan ‘bail-out’ tersebut dilaksanakan, Anwar sendiri adalah Menteri Kewangan pada ketika itu. defendan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menuding jari terhadap plaintif sahaja dan mengelak daripada bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat secara kolektif oleh Menteri Kabinet dan ahli-ahli Parlimen.

“Jelas sekali berdasarkan kepada perenggan-perenggan tersebut, defendan bergantung kepada penceritaan daripada orang yang sudah meninggal dunia dan tidak mampu untuk memberikan keterangan atau mengesahkan kejadian tersebut sebagai saksi,”ujar Dr. Mahathir.

Tambah Dr. Mahathir, adalah tidak logik untuk Anwar menepis sebarang dakwaan wujudnya sebarang salah guna kuasa semasa ‘Bail-Out’ tersebut berlaku, dan kemudiannya memilih untuk menyatakan sebaliknya dalam pembelaannya pada masa sekarang.

“Berdasarkan pendedahan perkara di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Anwar mempunyai kecenderungan sebagai seorang ‘pathological liar’ (seseorang yang sentiasa menipu tanpa sebarang sebab atau alasan). Ini kerana defendan menyatakan pendirian yang berbeza dengan apa yang dinyatakan di Pembelaan tersebut pada hari ini. 

“Perkara yang sama juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini membawa sebarang bukti untuk mempertahankan dakwaan-dakwaannya. Ini menunjukkan bahawa defendan hanya akan menyatakan sesuatu dan sanggup bertukar pendirian serta mengeluarkan fithah selagi mana ianya menepati keperluan peribadi defendan.

“Mulai tahun 1998 sehingga ke tarikh Anwar memfailkan pembelaan tersebut, defendan tidak langsung menunjukkan sebarang bukti salah guna jawatan atau amalan nepotisme oleh plaintif. Yang ada hanyalah ulangan demi ulangan skrip politik fitnah defendan,” kata Dr. Mahathir.

Selain itu, Dr. Mahathir dalam membidas pembelaan Anwar yang kononnya beliau memfailkan saman itu untuk mewujudkan perpecahan kaum dan hanya membicarakan mengenai orang Melayu ‘setelah hilang kuasa’ adalah satu tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali. 

“Plaintif telah giat aktif menyuarakan serta membela nasib orang Melayu sejak daripada zaman pra-merdeka melalui nama penanya, C.H.E. DET dan juga buku yang telah ditulis oleh plaintif bertajuk ‘The Malay Dilemma’.

“Plaintif tidak pernah lekang menulis dan memperjuangkan hak orang Melayu sama ada pada tempoh plaintif memegang tampuk kepimpinan negara ataupun tidak,”katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir menyatakan, Anwar sendiri dalam pembelaannya menyatakan bahawa kenyataan berbaut fitnah itu dibuat bagi ‘membalas’ kononnya ‘serangan-serangan’ daripadanya.

Ujar Dr. Mahathir, tindakan defendan yang ‘membalas’ tersebut menunjukkan kewujudan niat jahat (‘malice’) defendan terhadap plaintif. Hakikatnya, kenyataan-kenyataan Anwar tersebut jelas sekali berpunca daripada perasaan dendam yang dimiliki olehnya terhadap plaintif sejak sekian lama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya