Kawal obsesi dunia politik, seni hiburan - Utusan Malaysia

Kawal obsesi dunia politik, seni hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYOKONG mana-mana parti politik perlu belajar menjadi seorang pengikut yang berhemah dan tidak termakan dengan sebarang sentimen negatif sehingga berlaku situasi hina-menghina, caci-mencaci dan keji-mengeji.

Seruan itu disuarakan oleh pelakon dan pelawak, Fikry Ibrahim, 29, yang kesal melihat situasi politik semasa yang berpunca daripada sikap segelintir pemimpin yang memberikan contoh tidak baik kepada pengikut mereka.

Katanya, politik itu adalah satu cabang seni dan pemimpin perlu bijak menonjolkan diri kerana mereka adalah cerminan masyarakat.

“Baik pemimpin kerajaan atau pembangkang, perbuatan mereka adalah contoh kepada masyarakat. Janganlah sampai tahap hendak maki pihak yang kita tidak suka.

“Kalau tak suka, biarkan sahaja berlalu di media sosial kita. Apa keberanian sampai tahap hendak hina tokoh negara, ilmuan dan ustaz? Tak setuju lebih baik kita diam, jangan sampai menghina,” katanya.

Pemenang tempat ketiga program realiti Lawak Solo 2016 itu berkata, kebejatan media sosial juga boleh mempengaruhi sikap netizen baik dalam aspek politik, hiburan dan sosial.

Katanya, situasi itu lebih bertambah keruh dengan wujudnya portal picisan yang sebenarnya menggalakkan warga maya menambah dosa terhadap sesuatu isu.

“Contohnya ada portal dia ambil keratan ‘badan saya, suka hati saya – kata artis’ atau artis muat naik gambar seksi. Memang itu dosa, tetapi janganlah berkongsi semula.

“Sudah tentu kita mengajak orang lain membuat penghinaan selepas kita sendiri yang membuka laluan tersebut dengan niat mahu portal mereka menjadi tumpuan dan bilangan pelawat meningkat.

“Sedangkan dulu, kita hidup dalam zaman positif semasa wujudnya MySpace. Masa itu berlumba-lumba buat profil siapa paling cantik. Namun, sekarang pemikiran netizen terlalu negatif sehingga mendorong pengaruh yang buruk,” katanya.

PULANG MENGUNDI

Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung nanti, selebriti kelahiran Jitra, Kedah ini memberi galakan kepada orang ramai untuk pulang mengundi kerana pilihan raya adalah saluran demokrasi terbaik.

“Tunaikan tanggungjawab pada negara kerana masih ada pemimpin yang berhati murni dan berniat ikhlas membantu rakyat. Kita masih ada saluran demokrasi terbaik bagi menentukan hala tuju negeri dan negara.

“Saya sendiri akan memangkah calon yang mempunyai ciri-ciri agama yang baik, jati diri Melayu, cerdik, bersih dan paling penting bukan pemimpin yang suka mengata pada orang lain,” katanya yang akan pulang mengundi di Kedah, bulan depan.

RAHSIA

Fikry ditemui semasa pelancaran filem Rahsia yang merupakan naskhah olahan semula daripada filem asal yang pernah diterbitkan pada 1987.

Menerusi naskhah seram itu, Fikry diberi kepercayaan menggalas watak utama bersama pelakon hebat lain seperti Nabila Huda, Eman Manan dan Rashidi Ishak.

Jarang mengambil tawaran lakonan, Fikry akhirnya bersetuju membintangi filem itu selepas melihat gabungan yang mantap daripada pelbagai aspek.

“Baik daripada segi pelakon, skrip dan produksi yang saya sangat puas hati melihat gabungan ini. Tonton treler pun sudah rasa tak sabar.

“Dapat pula bergandingan dengan Nabila, bagi saya dia adalah seorang pelakon lama yang sangat membantu, bagi kerjasama serta membuatkan saya tidak berasa janggal ketika di set penggambaran. Hasil kerja dia sangat bagus,” katanya.

Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga yang diarahkan oleh Shamyl Othman yang merupakan anak kepada pengarah asal filem, Othman Hafsham.

Filem seram ikonik ini pernah melakar kejayaan dan menjadi fenomena suatu ketika dahulu sehingga dinobatkan sebagai filem terbaik semasa Festival Filem Malaysia ketujuh.

Naskah yang diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Five Star Trading ini bakal menjengah pawagam seluruh negara pada 10 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya