Kastam rampas rokok, arak elak cukai RM3.9 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas rokok, arak elak cukai RM3.9 juta

Rokok
WONG Pun Sian menunjukkan rampasan rokok dan minuman keras menerusi operasi khas Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) pada sidang akhbar di Pelabuhan Klang, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan sindiket menjadikan negara ini sebagai transit bagi penyeludupan 4.1 juta batang rokok putih ke Australia tumpas dalam satu operasi khas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Mei dan Jun lalu.

Operasi dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) itu merampas rokok tersebut selepas menemukannya dalam tiga buah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang yang diikrarkan sebagai perkakasan dapur dan pelbagai barangan lain.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, dalam operasi sama, pasukannya turut menemukan 21,840 liter minuman keras dalam sebuah kontena di Pelabuhan Utara.

Menurutnya, rampasan kedua-dua barangan yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu dianggarkan berharga RM329,976 dan RM87,360 masing-masing dengan nilai cukai sebanyak RM2.75 juta dan RM752,000.

“JKDM memanggil empat warga tempatan untuk siasatan. Pihak wakil syarikat ejen penghantaran ke atas kontena-kontena tersebut dipanggil memberi keterangan berkaitan kes tersebut untuk siasatan lanjut.

“Kontena dengan muatan rokok dan minuman keras merupakan barangan larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/ Bahagian II dan Butiran 67, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, kedua-dua kes tersebut disasat di bawah AKta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1) akta sama.

“Sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

“Atau dipenjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pun Sian menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Orang ramai dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat.

“JKDM menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol, 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran. Identiti pemberi makluman adalah dirahsiakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya