PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah berjaya mengutip cukai berjumlah RM28.13 bilion setakat 17 Julai lalu iaitu 3.6 peratus lebih tinggi berbanding RM27.16 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hasil kutipan yang lebih tinggi itu membolehlan kerajaan merencana pelbagai bantuan tambahan kepada rakyat.
“Dengan kutipan yang lebih tinggi, pelbagai bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Handholding ‘Indirect Tax & Voluntary Disclosure (VDP)’ di sini, hari ini.
Katanya, VDP ialah salah satu usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara ikhlas, dan melaporkan cukai yang sepatutnya untuk meningkatkan kutipan hasil bagi pembangunan negara.
Ahmad berkata, program VDP 2.0 ini adalah kesinambungan kepada inisiatif terdahulu yang dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 30 September 2022 dengan jayanya.
Menurutnya, rekod menunjukkan bilangan permohonan yang menyertai VDP 1.0 ialah sebanyak 16,880 melibatkan kutipan hasil berjumlah RM700 juta dengan 6.4 peratus dari permohonan tersebut melibatkan kesalahan tidak membayar cukai.
“Saya ingin berpesan kepada mana-mana orang atau syarikat untuk tidak melepaskan dan memanfaatkan peluang program ini yang bermula pada 6 Jun lalu sehingga 31 Mei 2024.
“Pembayar cukai yang komited mencerminkan sikap tanggungjawab anda terhadap perniagaan yang dimiliki dan seterusnya kepada negara,” katanya. – UTUSAN