DUNGUN: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila anak perempuan mereka yang berusia dua tahun tertelan sebentuk cincin di kediaman mereka di Kampung Felda Kerteh 4, di sini, kira-kira pukul 1 pagi, semalam.
Kejadian itu disedari Nurhanis Junazeri, 21, dan suaminya, Mohd. Alif Zulfikar Sutling, 31, selepas melihat anak mereka, Nur Syifaa Dahlia, tercekik objek dan sukar bernafas.
“Sebelum kejadian, saya bersama anak sedang makan. Namun, saya tinggalkan dia sekejap di dapur untuk ke bilik. Tak lama kemudian, saya lihat anak yang berada di ruang tamu seolah-olah tercekik sesuatu dan sukar bernafas sambil menunjukkan lehernya.
“Saya ingatkan dia tercekik makanan, saya dan suami cuba menekan perut dan menepuk bahagian belakangnya sebelum dia muntah, namun hanya makanan yang keluar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Nurhanis berkata, anak tunggalnya itu memberitahu dia tertelan cincin yang tidak diketahui dari mana cincin itu diambil.
Menurutnya, dia dan suaminya kemudiannya bergegas membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Dungun.
“Bila doktor jalankan x-ray memang ada sebentuk cincin dalam perut anak. Memang saya bimbang kalau cincin ini tak keluar, takut kalau-kalau ada kesan sampingan,” katanya.
Nurhanis berkata, bagaimanapun dia bersyukur cincin tersebut keluar melalui saluran najis kira-kira pukul 12 malam tadi, selepas hampir 23 jam berada dalam perut anaknya.
“Saya memang tak tahu dari mana dia ambil cincin tersebut, semua barang kemas saya dah letak di tempat tinggi,” katanya. – UTUSAN