Kanak-kanak 10 tahun hilang ketika mandi di Teluk Senangin - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 10 tahun hilang ketika mandi di Teluk Senangin

BIDURI Hamzah (tiga dari kiri) bersama ahli keluarganya semasa pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi mencari anaknya yang hilang ketika mandi di pantai Teluk Senangin, Segari. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang ketika mandi di pantai peranginan Teluk Senangin, Segari, dekat sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika kanak-kanak itu, Mohammad Fariz Irfan Abdul Halim mandi bersama adik perempuan berusia tujuh tahun dan ditemani seorang kakaknya yang berusia 19 tahun.

Setakat pukul 8 malam ini, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tanjong Rambutan, Ipoh, itu masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Akmal Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.19 petang.

“Sebaik tiba, sepasukan lapan anggota bomba bersama 10 anggota polis dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar pantai dan permukaan air tetapi tidak menemui kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mereka menempatkan bilik gerakan di pantai tersebut sepanjang malam ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan akan meneruskan operasi di darat dan di laut mulai esok pagi.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Biduri Hamzah, 48, berkata, mereka sekeluarga dari Chemor, dekat Ipoh, menaiki dua kenderaan tiba di pantai tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, mereka kemudian menjamah hidangan yang disediakan sebelum anak lelaki tunggalnya itu bersama adik dan seorang kakaknya pergi mandi di pantai tersebut.

Jelas Biduri, suaminya, Abdul Halim Mohamed Ramli, 44, pula pergi memancing di kawasan batu di hujung pantai tersebut manakala dia yang sakit kaki bersama ahli keluarga lain berehat di dalam pondok yang disediakan di situ.

“Jika hendak diikutkan, Mohammad Fariz Irfan dan adiknya hanya bermain di gigi air dan bukannya mandi sehingga ke dalam laut dan saya pun sudah berpesan dengan seorang lagi anak saya berusia 19 tahun jangan terlepas pandang mereka berdua.

“Tetapi, entah macamana terlepas pandang juga dan tahu-tahu sudah hilang,” jelasnya yang kemudian menelefon suaminya memberitahu kejadian itu.

Katanya, suaminya kemudian mencari anak ketiga daripada empat beradik itu di seluruh pantai termasuk bertanyakan pengunjung lain jika ternampak kelibat anaknya, malangnya tidak ditemui sebelum menelefon talian kecemasan 999.

Menurutnya, sepatutnya mereka pulang semula ke Chemor petang tadi tetapi disebabkan kehilangan mangsa, mereka akan berada di situ sehingga ditemui. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya